Skuad Pecut 4×100 Meter Malaysia Terima Padah Gara-Gara Kesilapan Tukar Baton

JAKARTA – Kesilapan ketika pertukaran baton menghancurkan harapan kuartet 4×100 meter negara apabila larian mereka dibatalkan ketika aksi final Sukan Asia di Stadium Utama, Gelora Bung Karno, malam tadi.

Pelari pertama, Nixson Kennedy memberikan baton kepada pelari kedua, Jonathan Nyepa di luar zon sepatutnya menyebabkan ia terbatal secara automatik.

Jurulatih skuad pecut negara, M Balamurugan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas insiden berkenaan yang disifatkan perkara lumrah dalam acara berganti-ganti.

Katanya semua perancangan sudah diatur dengan teliti selepas kuartet berkenaan mara ke final namun nasib tidak menyebelahi mereka.

“Kita yakin mereka akan berupaya memecahkan rekod kebangsaan malam ini tetapi apakan daya. Mereka berada di prestasi terbaik tetapi tiada rezeki pada malam ini,” kata Balamurugan.

Ditanya mengenai formasi pelari hari ini, dengan Nixson diletakkan sebagai pelari pertama berbanding Muhammad Haiqal Hanafi, Balamurugan menjelaskan ia bukanlah penyebab kegagalan berkenaan.

Katanya, gandingan malam ini adalah yang terbaik dan Haiqal digunakan untuk mara ke final semalam.

“Selepas meneliti rakaman video semalam, kita cuba memperbaikinya hari ini tetapi tidak bernasib baik. Ia perkara biasa terjadi walaupun kuartet kelas dunia sekalipun,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.