Dr Halimah Gesa BR1M Dikekalkan Kerana Kos Sara Hidup Tinggi

PETALING JAYA — Kerajaan tidak seharusnya memansuhkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia merupakan antara sumber pendapatan bagi sesetengah penerima, kata calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Seri Setia Dr Halimah Ali.

Beliau berkata sekiranya kerajaan meneruskan cadangan pemansuhan tersebut, kerajaan seharusnya memberi bantuan yang lebih baik berbanding BR1M.

“Kos sara hidup yang tidak berubah mengakibatkan rakyat masih menderita, walaupun sebelum ini kerajaan (Pakatan Harapan) menjanjikan untuk mengawal harga barang dalam tempoh 100 hari.

“Bayangkan, jika BR1M dimansuhkan, nasib penerima yang bergantung kepada bantuan tersebut (mungkin) akan mengalami kesukaran untuk menampung kos sara hidup.

“Maka ia tidak boleh diberhentikan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Rumah Pangsa Desa Mentari, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula menyatakan pelaksanaan BR1M oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu perlu dihentikan kerana ia mempunyai unsur rasuah.

Dalam pada itu, Dr Halimah berkata rata-rata penduduk yang ditemui sepanjang berkempen mengadu mengenai masalah sosioekonomi.

“Kebanyakan mereka (penduduk sekitar DUN Seri Setia) yang ditemui mengadu mengenai kos sara hidup yang semakin tinggi, contohnya mereka yang menghidap penyakit serius seperti strok kerana perbelanjaan (perubatan) menelan kos lebih besar.

“Sebelum ini penduduk lega kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) janji tiada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Kini tidak lagi kerana keadaan kembali kepada asal kerana pelaksanaan cukai lain (Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ,” tambah beliau.

Dr Halimah yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor berdepan pertandingan satu lawan satu menentang calon PH Halimey Abu Bakar pada PRK DUN Seri Setia 8 September ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas. — Bernama

One thought on “Dr Halimah Gesa BR1M Dikekalkan Kerana Kos Sara Hidup Tinggi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.