Cadangan Naikkan Caj Konsultasi Hospital dan Klinik Swasta Dikritik

PETALING JAYA – Sebuah badan penyelidik berkata Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) perlu berunding dahulu dengan semua pihak yang terlibat sebelum menaikkan kadar caj konsultasi pengamal perubatan dan doktor bagi klinik dan hospital swasta.

Ketua Eksekutif Galen Pusat Kesihatan dan Polisi Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, rakyat berhak mendapatkan penjelasan yang komprehensif daripada KKM di sebalik hasrat menaikkan caj konsultasi tersebut.

“Persoalan yang harus ditanya kepada KKM adalah sama ada konsultasi bersama wakil pesakit atau masyarakat sivil telah dilakukan kerana cadangan tersebut sudahpun berada di tahap terakhir.

“Perubahan kepada caj konsultasi swasta yang dicadangkan akan mengakibatkan peningkatan tahap inflasi perubatan yang lebih tinggi,” katanya kepada FMT.

Azrul berkata, peningkatan caj juga akan mengakibatkan kesan sampingan termasuk kenaikan harga kad perubatan oleh syarikat insurans dan kos hospital swasta.

“Ia berkemungkinan akan membebankan pihak majikan daripada memberikan perlindungan kesihatan yang sepatutnya kepada pekerja mereka.

“Semua isu ini akan menyebabkan rakyat lebih tertekan akibat peningkatkan kos rawatan perubatan yang mendadak.

“Ini dijangka akan menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada sistem perubatan awam yang kini dalam keadaan tertekan, kurang upaya dan terdesak disebabkan keperluan yang melebihi kapasiti yang sedia ada”.

Katanya, pergerakan pesakit dari sistem swasta kepada sistem awam akan bertambah dan menyebabkan keadaan yang lebih tertekan dan terdesak.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar dilapor berkata kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35.

Cadangan itu bagaimanapun tidak disokong beberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang bimbang peningkatan secara mendadak akan menghalang pengguna mendapatkan rawatan, yang mungkin membawa kesan lebih teruk.

Sementara, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, cadangan itu akan membebankan rakyat, khususnya rakyat miskin dan sederhana.

“Dasar yang ingin dibuat oleh kerajaan perlu diteliti dahulu kerana kerajaan baharu tidak boleh menggunakan kaedah yang sama seperti kerajaan terdahulu yang membebankan hidup rakyat.

“Ia adalah sangat penting untuk kerajaan buat satu analisa mengapa mereka hendak tinggikan kos yang sedia ada.

“Mereka beritahu kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor bagi klinik dan hospital swasta tidak diperbaharui sejak 2006, ia adalah satu jawapan yang tak munasabah.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.