Agong Cemar Duli Hadiri Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pagi ini berangkat mencemar duli menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya, Presint 3 di sini.

Yang turut hadir ialah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, barisan Menteri Kabinet, pegawai kerajaan dan pemimpin parti politik.

Kira-kira 300,000 orang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini selepas 13 tahun.

Sebelum ini, sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya sebanyak dua kali iaitu pada 2003 dan 2005.

Sempena sambutan kali ini, kontinjen perarakan akan membabitkan 12,714 orang, 25 ekor anjing, 60 ekor kuda, 251 aset darat dan 54 aset udara milik Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi lain.

Kontinjen akan berarak di sepanjang Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer bermula kira-kira jam 8 pagi. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.