Suspek Kunci Mulut

Bangkok (Thailand) – Lelaki warga asing yang ditahan polis Thailand, kelmarin kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok 17 Ogos lalu, enggan bekerjasama dengan pasukan penyiasat.

 

“Dia enggan menjawab soalan diajukan penyiasat sama ada dia terlibat atau memainkan apa-apa peranan dalam serangan tersebut,” kata jurucakap polis, Prawut Thawornsiri.

 

Tambah Prawut lagi, lelaki itu juga berdiam diri ketika penyiasat bertanya mengenai serangan bom di jeti Sathorn, sehari selepas insiden pengeboman kuil Erawan yang meragut 20 nyawa.

 

Polis menangkap lelaki itu selepas satu serbuan di sebuah apartmen di luar Bangkok, tengah hari kelmarin.

 

Ketika serbuan, polis turut menemui komponen untuk membuat bom di bilik sewa lelaki berkenaan.

 

Pada mulanya, polis mengumumkan bahawa suspek adalah warga Turki bernama Adem Karadag, 28, namun pasportnya dipercayai palsu.

 

Polis Thailand sebelum ini menyatakan, serangan tersebut tidak ada kaitan dengan kumpulan pengganas dari luar negara, sebaliknya hanya perbuatan balas dendam individu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.