Sambut Hari Kebangsaan Lebih Baik Dari Bersih – Pengunjung

Kuala Lumpur – Sambutan Hari Kemerdekaan 2015 kali ini dilihat lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

 

Walaupun lokasi Dataran Merdeka turut dijadikan lokasi perhimpunan Bersih 4 yang berakhir malam tadi, namun semua perancangan sambutan Hari Kebangsaan dilihat berjalan lancar.

 

Orang ramai yang ditemui menyifatkan, rakyat perlu berfikiran rasional kerana lebih baik menyertai sambutan hari Kebangsaan di Dataran Merdeka daripada himpunan Bersih 4 yang hanya mendatangkan kesulitan kepada warga kota.

 

Bagi seorang pesara polis dari Unit Tindakan Khas (UTK), Bukit Aman, Mohd Maskor Muradi, 69 tahun sambutan Hari kebangsaan masih lagi relevan dan meriah berbanding sebelum ini.

 

“Sambutan pada tahun ini memang bagus dan ramai pengunjung berbanding tahun lepas,

 

“Walaupun rakyat masih bimbang dengan keadaan agak menakutkan disebabkan Bersih 4 tetapi orang ramai tidak kisah kerana hari ini memang ditunggu-tunggu untuk datang ke Dataran Merdeka,” kata Maskor yang telah berkhidmat dalam polis dari tahun 1975 sehingga 1994.

 

Berkongsi pengalaman semasa tahun perkhidmatannya pada zaman komunis, berjauhan dengan keluarga sudah menjadi kebiasaan demi memastikan keamanan negara.

 

“Pada masa itu memang anggota polis macam saya dari UTK dikerahkan ke sana dan ke sini sehingga nak bersama isteri dan anak-anak pun tiada masa,” katanya.

 

Bagi Jumaya Mohd Syafei 35 tahun dari Cheras, semangat hari Merdeka pada tahun ini lain daripada biasa kerana anak-anaknya sendiri mahu memakai baju bendera untuk hadir ke Dataran Merdeka.

 

“Tahun lalu mereka tidak kisah mungkin kerana masih kecil, tahun ini anak sulung saya beriya-iya mahu baju bendera dan nak ke Dataran Merdeka,” katanya.

 

Memenuhi permintaan anak-anaknya dengan bermodalkan RM50, Jumaya menempah baju bendera bagi tujuan untuk memupuk semangat sayangkan Malaysia.

 

“Biar mereka diberi kesedaran sejak kecil lagi agar jangan ikut perhimpunan dan demonstrasi, kalau pergi sambutan kebangsaan, hari Malaysia itu lebih bermanfaat,” katanya.

 

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sehati Sejiwa’ dilihat begitu berkesan kepada rakyat Malaysia dan ini diterjemahkan dengan kehadiran rakyat lebih ramai ke Dataran Merdeka untuk sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.