Terengganu Tumpu Kepada Pasukan Bola Sepak Utama – MB

Kuala Terengganu – Kerajaan Negeri akan memberi fokus yang lebih kepada pasukan Terengganu bagi memastikan pasukan itu mampu berada pada kedudukan terbaik dalam saingan liga tempatan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman, berkata percaturan itu akan dilakukan pada musim hadapan bagi memastikan skuad utama negeri Terengganu dapat memberi aksi terbaik dalam mewarnai persada bola sepak negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan meminggirkan pasukan berstatus kelab negeri itu, T-Team, namun akan memberikan fokus kepada pasukan Terengganu terlebih dahulu untuk mengecapi kejayaan dalam saingan kejuaraan itu.

“Pada saingan tahun ini, kedua-dua pasukan gagal merangkul sebarang kejuaraan jadi kita ingin fokus satu-satu agar dapat melakar kejayaan dalam saingan bola sepak negara.

“Maka pada tahun hadapan kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada pasukan utama Terengganu dahulu dalam mengecapi kejayaan sebelum memberikan fokus kepada T-Team,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata, ini tidak bermakna pasukan T-Team akan dipinggirkan kerana bukan mudah untuk menempatkan dua pasukan negeri dalam saingan bola sepak tempatan.

Katanya, beliau akan meneruskan legasi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang cenderung untuk melakarkan kejayaan dalam sukan yang diminati oleh seluruh pelusuk rakyat negeri ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri akan menjadikan pasukan T-Team sebagai platform bagi mencungkil lebih ramai bakat muda untuk diserapkan dalam pasukan utama Terengganu.

“Kita telah mencadangkan agar tenaga tempatan digunakan sepenuhnya dalam pasukan T-Team apabila memasuki musim hadapan menerusi kaedah ini, kita akan turun padang ke daerah-daerah untuk mencungkil bakat tempatan malah dapat memberi peluang kepada rakyat Terengganu mewarnai kancah bola sepak tanah air,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah dilakukan seperti pasukan hoki Terengganu apabila sebahagian pemain hoki kebangsaan adalah produk Terengganu.

Katanya, kerajaan negeri optimis untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.