Sambutan Semakin Hambar Akibat Rakus Berpolitik Dan Kejar Kuasa

Kuala Lumpur – Kerakusan individu dalam politik dilihat antara ancaman yang boleh merosakkan kegemilangan dan semangat patriotik rakyat negara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, ia sekali gus menjadikan sambutan kemerdekaan menjadi semakin hambar dari tahun ke tahun.

“Semua kerana ancaman orang politik sendiri, kalau dulu cara orang politik berjuang kepada negara, bangsa dan rakyat sekali gus menjadikan negara ini terjamin keselamatananya.

“Kini orang politik, mereka sendiri rakus untuk mendapat kuasa dan wujudkan pecah belah dalam negara ini,”katanya ketika ditemui sempena sambutan Kemerdekaan ke-57 di sini.

Ujarnya, ancaman ini juga dilihat boleh mempengaruhi anasir lain untuk mengambil peluang merosakkan negara.

“Pucuk pimpinan politik perlu mengutamakan negara dan rakyat daripada rakus untuk mendapatkan kuasa kepada diri sendiri…itu paling penting.

“Semangat patriotik seharusnya dipupuk kepada generasi muda, namun dengan banyaknya politik kebencian kini, orang muda dihasut untuk membenci kerajaan atau membenci kumpulan tertentu.

“Saya berharap orang-orang politik bersatu dan mementingkan negara dan rakyat dan bangsa daripada kepentingan diri sendiri, bila bersatu, kita akan lebih kukuh dan kuat sekali gus orang takut untuk lakukan sesuatu dan merosakkan kemerdekaan negara,” jelasnya.

Musa turut merayu kemerdekaan negara terjaga untuk masa-masa akan datang.

“Setiap tahun kita raikan, dan setiap tahun ia menjadi semakin tidak meriah, tidak macam mula-mula dahulu.

“Kita perlu meningkatkan semangat ini kerana pada masa dahulu kita hadapi ancaman daripada mereka yang cuba mengambil pemerintahan negara dengan cara memberontak,”

Musa turut mengimbas kembali kenangan ketika menjadi anggota keselamatan satu masa dahulu.

Katanya, pada tahun 70-an, anggota polis berdepan cabaran terbunuh dalam operasi menentang komunis namun semuanya dilakukan demi cinta kepada negara.

Dalam pada itu katanya, pengaruh media sosial turut disifatkan ancaman yang membangkitkan perasaan benci rakyat kepada Kerajaan selain propaganda kumpulan tertentu yang mahu pemimpin sedia ada digulingkan.

“Sekarang ancaman luas, saya lihat kita ada media masa terbuka, jadi ada pihak guna media masa untuk ubah fikiran rakyat, menghasut rakyat untuk membenci negara dan benci pentadbiran  negara.

“Jadi wujudlah kumpulan-kumpulan yang cuba untuk menanam kebencian untuk menukar kerajaan dengan mereka menjangka dengan kerajaan baru akan dapat pemerintahan lebih baik,” ujarnya.

Musa merupakan Ketua Polis Negara kelapan dan berkhidmat sehingga September 2010 sebelum digantikan Tan Sri Ismail Omar.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.