PPS: Polis Tahan Boon Poh, Ambil Keterangan Guan Eng

Georgetown – Polis menahan Pengerusi Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan mengambil keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi membantu siasatan berhubung pasukan yang ditubuh kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid, berkata Phee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, ditahan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

“Phee hadir di IPD Timur Laut pada jam 4.30 petang dan polis menahannya untuk siasatan lanjut manakala Lim Guan Eng dibebaskan selepas polis merekod keterangannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer.

Sehingga jam 6 petang, sejumlah 156 anggota PPS termasuk Phee dan tujuh wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung pasukan itu yang didakwa ingkar amaran untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pagi tadi, polis menahan 154 anggota PPS selepas mereka menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan di Padang Kota.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dilaporkan berkata semua anggota PPS, termasuk tujuh wanita itu, ditahan pada 10.15 pagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Sementara itu, tinjauan di IPD Timur Laut mendapati beberapa ADUN, anggota keluarga PPS dan penyokong kerajaan negeri berkumpul di pintu masuk balai berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.