Perdagangan Malaysia-Arab Saudi Semakin Meningkat

Madinah – Jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi semakin meningkat dan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini ia mencatatkan peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Konsul Jeneral Malaysia di Arab Saudi Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan Arab Saudi bagi tempoh itu berjumlah AS$2.01 bilion.

Sementara itu, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi meningkat lebih daripada tiga kali ganda pada akhir tahun lepas kepada AS$3.07 bilion daripada AS$955.1 juta pada 2000.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat bersempena dengan Hari Kemerdekaan Malaysia yang Ke-57.

“Kuantiti eksport Malaysia ke Arab Saudi ialah sebanyak AS$1.086 bilion (4.07 bilion Riyal Saudi) pada 2013.

“Eksport termasuk produk elektrik dan elektronik, industri logam, mesin, alat-alat ganti, kimia dan produk kayu,” katanya.

Mohd Khalid berkata import utama Malaysia dari Arab Saudi termasuklah minyak mentah, minyak ditapis dan produk kimia.

Arab Saudi merupakan rakan dagangan ke-19 terbesar dan negara pengimport ke-16 terbesar Malaysia.

“Walaupun kita gembira kuantiti perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi meningkat dengan ketara dalam tempoh yang singkat, kita percaya hubungan perdagangan antara kedua-dua negara boleh dikembangkan lagi dan dipelbagaikan menerusi perkongsian antara sektor awam dan swasta,” katanya.

Mengenai pelancongan, beliau berkata Arab Saudi adalah pasaran penting di Asia Barat apabila Malaysia menerima lebih 95,000 pelancong dari Arab Saudi tahun lalu.

Sebahagian daripada mereka datang sebagai pelancong kesihatan, katanya.

Mohd Khalid berharap lebih ramai pelancong Arab Saudi akan datang ke Malaysia bukan hanya bagi pelancongan dan pelancongan kesihatan tetapi juga merebut peluang daripada tawaran di bawah program Rumah Kedua Malaysia.

“Saya juga ingin menggalakkan lebih ramai pelajar dari Arab Saudi untuk melanjutkan pelajaran mereka di Malaysia kerana kami menawarkan standard pendidikan terbaik dalam banyak bidang berbeza dengan kos rendah,” katanya.

Beliau juga berkata hubungan dua hala Malaysia dengan Arab Saudi terus erat dengan kedua-dua negara menikmati tahap kerjasama sama-sama menang dalam semua bidang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.