Krisis Selangor: Siapa yang Raja – Awang Selamat

Pendirian Penasihat PKR, Anwar Ibrahim yang bermati-matian mahukan isterinya , Wan Azizah Wan Ismail menjadi Menteri Besar sudah menjadi isu keingkaran ketua pembangkang itu atas titah Sultan Selangor.

Menghairankan Anwar bersikap begitu ekstrem. Beliau tentunya faham bahawa baginda ada kuasa bukan sahaja untuk meminta lebih nama calon selain Wan Azizah malah dalam melantik Menteri Besar sebagaimana Perlembagaan Negeri Selangor 1959.

Awang sedih kerana pemimpin Melayu sendiri yang sesuka hati mengambil tafsiran dan tindakan yang songsang ke atas titah tuanku. Siapa sebenarnya Raja, Sultan Selangor atau Anwar?

Sepatutnya jika benar beliau mahu berjuang atas nama kepentingan rakyat, mengapa tidak bersikap terbuka untuk mencalonkan lebih daripada satu nama.

Apakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang lain tidak boleh dipercayai dan tidak layak yang pada kaca mata Anwar seolah-olah mereka sekadar budak suruhan?

Awang yakin Anwar hanya mahu seorang boneka menjadi Menteri Besar untuk kepentingan peribadi beliau, yang hal itu tidak boleh dibenarkan.

Tidak mengejutkan selepas ini, Anwar mahukan pula anaknya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menggantikan Wan Azizah sebagai Presiden dan bukannya Timbalan Presiden Azmin Ali.

Perkembangan isu tersebut menyerlahkan lagi politik hodoh PKR.

Dari budaya demonstrasi liar, rusuhan dan isu pergaduhan serta penipuan pemilihan hinggalah kepada ingkar kepada Sultan, apakah ini yang Anwar mahu corakkan?

Pihak yang paling tersenyum tentulah DAP kerana ada pemimpin Melayu yang menjadi senjata untuk agenda mereka. Kepada Anwar, jika mahu bertindak seperti ‘raja’, Awang mahu beri gelaran iaitu ‘raja’ nepotisme. – Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.