Dalam Demokrasi Yang Menguasai Keadaan Ialah Puak Ekstrimis – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir melahirkan kebimbangan beliau terhadap jurang perbezaan antara kaum yang semakin menebal di dalam masyarakat.

“Sekarang sudah hampir 60 tahun kita merdeka, makin lama makin jauh (wujudnya) perpisahan antara kaum,” katanya ketika berdialog bersama lebih 150 anak muda anjuran Akademi Belia.

Di atas pentas dialog bertajuk Evolusi Identiti Anak Muda 16 Ogos yang lalu, mantan Perdana Menteri berusia 89 tahun itu berkata masyarakat di negara ini akan sentiasa dikenali mengikut kaum kerana golongan sederhana dalam masyarakat tidak berani mempersoalkan apa yang disebut oleh golongan ekstremis.

Jelasnya, perkara itu berpunca dari “kontrak sosial” yang dipersetujui agar setiap kumpulan etnik dapat mengekalkan identiti budaya tersendiri.

“Disebabkan perkara itu, disebabkan kita tidak mahu berubah, kita tidak akan berjaya menjadi warga Malaysia sebenar,” katanya lagi.

Katanya, perkara itu berbeza dengan negara seperti Filipina, Thailand dan Indonesia di mana golongan minoriti dan keturuan mereka mendukung budaya dan bahasa tempatan.

 

Rencah Bangsa Malaysia

Rakyat Malaysia selalu meyakinkan diri mereka bahawa negara ini aman dan stabil. Cukup bernasib baik. Tetapi itu sekarang. Masa depan belum tentu.

Kejayaan ini perlu diuruskan dengan baik. Bak kata ramai pemimpin, menguruskan kejayaan adalah sukar. Semuanya bergantung kepada kestabilan sosial.

Maka, falsafah Bangsa Malaysia ibarat tali kemudi yang mengikat semua bangsa dan etnik kepada satu identiti nasional dari Perlis sampailah ke Sabah.

Walau bagaimanapun, menurut Profesor Datuk Dr Mustafa Ishak dalam bukunya berjudul The Politics of Bangsa Malaysia, pertembungan identiti sering berlaku. Masyarakat pelbagai kaum menterjemah pemahaman mengenai Bangsa Malaysia mengikut karakter dan acuan kepentingan kaum masing-masing.

Bagi mengelak pertembungan itu, mungkin sudah tiba masanya ruang kompromi antara sesama insan di Malaysia mengenai pembinaan identiti bukan lagi mengenai bangsa tetapi nilai.

Setiap segmen masyarakat perlu bermuafakat meneroka nilai yang mendasari landskap masyarakat pelbagai kaum di negara ini sekaligus menjadikannya sebagai faktor yang dikongsi untuk mencorak identiti Bangsa Malaysia. Antaranya, nilai kesederhanaan. Moderat.

 

Jadi, sukarkah kita untuk membentuk identiti Bangsa Malaysia?

Moderat itu jenama Malaysia. Malaysia pula sentiasa bermoderat prinsipnya di pentas hubungan antarabangsa. Kerana moderat jugalah, ia menjadi ramuan kejayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berunding dengan bekas ketua pemisah pro-Rusia, Alexander Borodai dalam hal berkaitan tragedi MH17 di timur Ukraine.

Tetapi dalam kita mencanang kejayaan gerakan kesederhanaan, ada juga rakyat Malaysia yang sudah menemui ajal sebagai pengebom berani mati.

Ekstremis. Ini nyata sesuatu yang bercanggah dan amat membimbangkan.

Apabila masyarakat teguh di bawah payung kesederhanaan, mereka akan jadi lebih rasional. Makin rasional sesebuah masyarakat, makin matang mereka berfikir dan bertindak. Ini pasti baik untuk kestabilan dalam negara.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jika di sini lahirnya sebuah cinta, maka, 57 tahun adalah tempoh masa yang cukup ranum untuk terus bersuai kenal hati budi dan berkeluarga sesama kita.

Moderat bukan bermaksud hanya berani mendiamkan diri.

Bersederhanalah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.