Bentang Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional Akhir Tahun Depan

Kuala Lumpur – Kerajaan berharap dapat membentangkan kepada Parlimen deraf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional bagi menggantikan Akta Hasutan, menjelang akhir tahun depan.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini, kerajaan berkata, sehingga undang-undang baharu dikuatkuasakan, semua kes perlu dibicarakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Sebarang perkara berkaitan pertuduhan mengikut Akta Hasutan akan ditentukan oleh mahkamah. Badan kehakiman Malaysia bersifat bebas seperti yang telah terbukti melalui beberapa kes,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, urusan merangka rang undang-undang itu mengambil masa kerana ia perlu dirunding dengan masyarakat sivil serta orang ramai dan setakat ini, kerajaan menerima beberapa syor untuk ditelitinya, termasuk daripada Majlis Perundingan Perpaduan Nasional. “Seperti (di) negara lain, kami berusaha mencari keseimbangan antara kebebasan bersuara dan keharmonian nasional, sejajar dengan era media dalam talian sekarang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.