Bade Tertekan!

“RASANYA tidak ada apa yang saya boleh katakan. Saya sendiri memang tidak pernah bercerita mengenainya,” jelas pengarah hebat, Badaruddin Azmi atau Bade berhubung khabar angin yang mendakwa isteri pertamanya, Erma Fatima memfailkan penceraian dek tertekan hidup bermadu.

Difahamkan, khabar angin itu mula tersebar apabila teman rapat Erma mendedahkan rahsia tersebut.

Namun menerusi portal hiburan baru-baru ini, Erma sendiri menafikannya dan akui tidak tahu menahu mengenai hal itu.

Bade, 44, yang ditemui pada majlis sidang media Tribute P. Ramlee 2014 kelmarin, turut menegaskan dirinya masih lagi suami kepada Erma dan pada masa yang sama masih menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Seperti yang dikatakan Erma sendiri sebelum ini, kami masih lagi suami isteri dan berita ini hanyalah gosip semata-mata.

“Saya tidak akan bercakap perkara yang tidak pernah berlaku. Jadi tidak tahu bagaimana boleh timbulnya cerita seperti ini.

“Sepatutnya sebelum menyebarkan cerita ini, mereka yang bertanggungjawab perlu bertanya sendiri kepada kami dan bukannya mendengar atau percaya daripada pihak lain,” tegasnya yang mengahwini isteri keduanya, Aida Abdullah Mac lalu.

Biarpun kisah rumah tangganya kian menjadi perhatian, Bade bagaimanapun memberitahu tidak marah mahupun terkilan dengan apa yang berlaku kerana sudah lali dengan perkara seumpama ini.

“Saya dan Erma bukan lagi orang baharu dalam industri ini. Jadi buat apa saya marah sebab saya memang sudah masak dengan gosip.

“Walaupun Erma seorang yang lebih selesa bercakap, tapi saya memilih untuk berdiam diri kerana mahu menjaga hati banyak pihak.

“Bila perkara seperti ini berlaku, saya akui agak tertekan tapi biarlah saya simpan sendiri,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Bade adalah antara beberapa pengarah yang terlibat menyertai pertandingan Tribute P Ramlee dengan mempertaruhkan telefilem ‘Mahabbah Rindu’ yang dijayakan barisan pelakon seperti Nazim Othman, Intan Ladyana, Wan Nor Azlin, Mahmud Ali Basha dan ramai lagi.

‘Mahabbah Rindu’ terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini bakal ditayangkan di TV1 pada 30 November 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.