Kerajaan belanja RM22.8 juta bina Empangan Sabo atasi impak banjir di Yan

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

YAN – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah membelanjakan sebanyak RM 22.8 juta, membina Empangan Sabo yang berfungsi sebagai perlindungan kepada penduduk setempat sekiranya berlaku fenomena kepala air.

Timbalan Menteri PETRA, Hj. Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata demikian ketika Sesi Penyerahan Projek Cadangan Pembinaan Empangan Sabo Serta Kerja -Kerja Berkaitan di Daerah Yan dan Kuala Muda Fasa 1 (Reka dan Bina) di D’Yan Chalet – Majlis Daerah Yan Peranginan Titi Hayun, pada Selasa.

Menurut Akmal Nasrullah, projek cadangan pembinaan empangan ini dibuat susulan pada 18 Ogos 2021, negara dikejutkan dengan kejadian banjir puing di kawasan sekitar Gunung Jerai, Pekan Yan, Gurun dan Merbok.

“Kejadian ini menyebabkan kehilangan 6 nyawa dan memusnahkan hampir 2,000 harta benda awam termasuk kediaman, bangunan perniagaan, sekolah, masjid, kawasan pelancongan desa, kemudahan awam serta menjejaskan hampir 34 hektar kawasan tanaman padi.

“Atas dasar keprihatinan, kerajaan persekutuan telah mengambil langkah-langkah pemulihan segera dengan mencadangkan pembinaan empangan ini dilaksanakan, ”katanya.

“Pelaksanaannya secara reka dan bina mengambil masa selama 18 bulan bermula pada 6 Disember 2021 dan siap sepenuhnya mengikut jadual pada 5 Jun 2023 oleh kontraktor Damaikon Sdn. Bhd. tanpa lanjutan masa.

“Pembinaannya meliputi dua unit struktur sabo, penyediaan sistem amaran kepala air dan pembinaan kerja-kerja penstabilan sungai.

“Melalui pembinaan strukturnya , ia dapat menghalang banjir puing dan arus yang deras ketika berlaku kepala air seterusnya mengelak daripada berlakunya kemusnahan harta benda di kawasan hilir sungai,” katanya.

Jelasnya lagi, sistem amarannya pula mampu memberikan makluman awal kepada penduduk setempat sekiranya fenomena kepala air berlaku.

“Impak daripada projek ini sudah pastinya akan memberi manfaat dan kelegaan kepada penduduk setempat kerana terlindung daripada kesan bencana yang sama sekiranya ia berulang lagi.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah telah melakukan yang terbaik dalam mengurus dan memantau pelaksanaan projek ini disiapkan mengikut tempoh kontrak yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaan projek ini merupakan bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan persekutuan dalam melindungi serta mengurangkan risiko bencana khususnya kepada penduduk di kawasan sekitar dan rakyat Kedah secara keseluruhan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penyerahan projek ini dilaksanakan kepada pihak kerajaan Kedah oleh Timbalan Ketua Pengarah JPS, Ir. Amiruddin Alaldin (Sektor Bisnes) kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Kedah (Pembangunan), Dato’ Haji Mohd. Fauzi Mustaffa disaksikan oleh Akmal Nasrullah dan Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Hj. Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria mewakili Menteri Besar Kedah.

Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan PETRA, Amisam Ismail; Pegawai Daerah Yan, Hjh. Maznim Ismail, dan Pengarah JPS Kedah, Ir. Ahmad Solihin Budarto. – SUARA.TV

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat