Jangan Ada Pihak Cuba Putar Belit Sejarah, Kata Waris Mangsa Kekejaman Pengganas Komunis

LABIS – Beberapa waris mangsa kekejaman komunis menyifatkan usaha pihak tertentu mahu buku teks sejarah diubah dengan memasukkan perjuangan komunis sebagai berniat jahat dan sengaja mahu memutarbelitkan fakta sejarah.

Bagi Aman Maada, 76, beliau menentang keras usaha tersebut kerana kekejaman pengganas komunis telah membuat mereka lima beradik membesar tanpa kasih sa­yang seorang ayah selepas bapanya, Maada Mohd. Kasi ditangkap komunis dan dibawa ke hutan gara-gara tidak menyokong perjuangan mereka.

“Menurut cerita ibu, bapa saya yang merupakan Penghulu Mukim Labis ketika itu telah ditangkap oleh kira-kira 30 pengganas komunis yang datang ke rumah kami pada waktu tengah malam sebelum membawanya ke hutan dan hilang tanpa khabar be­rita hingga kini.

“Peristiwa pada tahun 1944 itu berlaku ketika ibu masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan saya dan kami adik beradik tidak akan memaafkan perbuatan kejam itu serta tidak berperikemanusiaan pihak komunis berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tenang di sini kelmarin.

Justeru, dia meminta supaya pihak yang tidak pernah merasai penderitaan menjalani kehidupan pada zaman komunis jangan berlagak pandai memutarbelitkan fakta sejarah semata-mata mahu mengangkat perjuangan golo­ngan pengganas itu yang begitu zalim.

Sementara itu, Abdullah Chandi, 77, penduduk Pekan Air Panas yang turut kehilangan abangnya, Ishak yang bertugas sebagai Special Constable (SC) selepas diserang komunis ketika pulang menunaikan solat Jumaat di Bekok pada tahun 1953 turut sependapat dengan Aman.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, 21 daripada 23 orang termasuk orang awam yang menaiki sebuah lori terkorban terkena serpihan bom yang dipasang oleh pengganas komunis di Ladang Sungai Bekok.

“Hingga saat ini saya masih terbayang keadaan jenazah abang yang berusia 30 tahun dan cedera parah di bahagian belakang kepala sehingga terkeluar otak walaupun peristiwa tersebut sudah berlaku lebih 60 tahun.

“Ketika kejadian, saya baru berusia 14 tahun dan yang buat saya amat sedih kerana dia baru sahaja menghadiahkan basikal kepada saya kerana baru dinaikkan pangkat. Lama juga saya menyimpan basikal tersebut sebagai kenangan sebelum pemberian itu hilang beberapa tahun lalu,” katanya sambil menyifatkan tindakan memutarbelitkan fakta sejarah boleh menimbulkan kekecohan dan menggugat perpaduan kaum.

Sementara itu, Johari Yunus, 91, yang merupakan bekas anggota SC yang bertugas di Labis dan turut terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa serangan bom di Ladang Sungai Bekok itu mengakui keadaan mayat kesemua mangsa amat mengerikan kerana banyak yang terputus anggota badan.

“Saya harap generasi hari ini terutama yang tidak mengalami zaman tersebut dan tidak merasai penderitaan kami yang berjuang mengorbankan nyawa demi keamanan negara tidak perlu bising, sebaliknya lebih baik berusaha mengekalkan keamanan yang sedang dinikmati ketika ini.

“Saya berpendapat usaha untuk mengubah kandungan buku teks mata pelajaran Sejarah bukan perkara main-main dan tidak perlu dilakukan,” tegasnya. – UTUSAN

2 thoughts on “Jangan Ada Pihak Cuba Putar Belit Sejarah, Kata Waris Mangsa Kekejaman Pengganas Komunis

  • August 2, 2018 at 3:40 am
    Permalink

    benci kominis enam jahanam… nyah fahaman kominis yg rosak segala2nya…. hapuskan kominis,,,,pengkhianat negara..

    Reply
  • December 23, 2018 at 1:58 pm
    Permalink

    Kominis tetap kominis?? Kita tentang kominis sampai bila2??
    Alfatihah buat pejuang2 yg terkorban merpertahankan tanah air tercinta ini..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.