Video: 500 Penduduk Kampung Mutiara P.Pinang Berkumpul Halang Rumah Dirobohkan

GEORGETOWN – Kira-kira 500 penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi, di sini, berkumpul secara aman dalam usaha terakhir menyelamatkan kampung mereka daripada dirobohkan.

Kumpulan penduduk termasuk warga emas mula berkumpul sejak awal pagi tadi, bagi menghalang jentera berat dan wakil pemaju masuk ke kampung memulakan kerja merobohkan 40 unit rumah.

Hari ini adalah tarikh terakhir mereka diminta mengosongkan kediaman masing-masing.

Perkembangan hari ini adalah kemuncak masalah yang berlarutan sejak sekian lama apabila tanah yang menempatkan kampung itu dibeli oleh individu untuk dibangunkan.

Bagaimanapun, penduduk membantah arahan berpindah kerana mendakwa mendiami kawasan itu sejak 1950-an tanpa gangguan.

 

Tinjauan BH sejak jam 8 pagi turut mendapati semua laluan masuk ke kampung dihadang menggunakan kenderaan dan konkrit selain penduduk turut berkumpul di setiap jalan berkenaan.

Wakil penduduk, Huzail Ismadi, 30, berkata ia adalah langkah terakhir mereka bagi mempertahankan kampung berkenaan yang sudah didiami sejak tiga generasi daripada diambil alih pemaju.

“Kami berkumpul hari ini bertujuan mempertahankan kampung dan meminta pemaju mengkaji semula tindakan mereka mahu mengambil alih kawasan ini.

“Sejak 67 tahun lalu, kami tidak berdepan masalah dan tiba-tiba ada pihak muncul mendakwa seluruh kawasan kampung sudah dijual. Ke mana kami nak pergi?” katanya.

Kira-kira 50 anggota polis dilihat berada di kawasan sekitar kampung bagi memastikan ketenteraman dan difahamkan penduduk dalam proses meminta wakil pemaju tampil berbincang. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.