Tauke Anggap Pelawak Baru Saingan Sihat

INDUSTRI komedi tempatan kini meriah dengan kemunculan ramai pelawak muda yang mempunyai idea humor semasa dan mencuit hati.

Program pencarian pelawak juga menjadi antara faktor kehadiran pelawak baru dalam dunia seni hiburan tempatan.

Melihat kepada senario ini, Media Hiburan bertanya kepada Tauke sama ada kehadiran mereka boleh dianggap sebagai kelompok yang ‘mencaras’ rezeki pelawak sedia ada.

 

Tauke atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria memberitahu, kehadiran mereka usah dilihat dari sudut negatif.

 

Sebaliknya, anggaplah kehadiran pelawak muda dan baru ini sebagai satu semangat dan motivasi untuk pelawak sedia mencari atau membuat lawak yang lebih baik.

“Sepanjang terlibat dalam dunia lawak, ia satu proses mencari ilmu dan Alhamdulillah, ilmu itulah yang kita guna dalam mencari idea untuk buat lawak.

Sekarang pun kita sudah ada ramai influencer dan pelawak baru. Jadi kena bersaing dengan seberapa yang boleh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, mereka tidak boleh mengharapkan karya semata-mata dan perlu mencari alternatif lain dalam mengembangkan kerjaya, misalnya bekerja di belakang tabir.

Tauke yang kini bersama sebuah produksi dalam penyediaan kandungan untuk stesen TV swasta menjelaskan, sebagai orang yang lebih lama di dunia lawak berbanding rakan pelawak baru, dia juga perlu mencari cara baru demi memastikan idea lawak kekal relevan.

“Kita perlu ikut rentak dan kena relevan dalam apa yang dilakukan. Bukan sahaja pelawak, tetapi juga kepada penggiat seni lain. Misalnya, jika sekarang penonton lebih gemar hal berkaitan media sosial, jadi kita pun perlulah ikut aliran sama,” katanya ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta untuk produk No Stress by Sadomen di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Tauke yang kini sedang terlibat dengan program Oh My English dan Lawak Ker Der ternyata gembira dengan kerjasama ini.

“No Stress sesuai dengan diri saya. Saya juga pengguna produk ini sejak dua tahun lalu. Jadi sebagai seorang pelawak, sudah tentu ada masanya rasa tertekan dalam menjadi idea.

“Jadi saya akan gunakan No Stress untuk melega.

“Saya selesa menggunakannya kerana menenangkan sekali gus boleh berfikir, mencari idea lawak yang lain. Malah adik-beradik saya pun turut menggunakannya,” akhiri Tauke.

No Stress merupakan minyak aromaterapi pelbagai guna yang menggabungkan lebih 13 pati tumbuh-tumbuhan yang terdiri daripada herba dan bunga terpilih.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.