‘Mat Motor’ Terkepung Dalam Ops Tutup Malam Tadi

KUALA LUMPUR – “Bagai cacing kepanasan.” Itu antara situasi yang digambarkan apabila lebih seribu ‘mat motor’ diperiksa menerusi satu operasi di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail di sini malam tadi.

Susulan itu, 391 saman dikeluarkan dalam Ops Tutup secara besar besaran membabitkan motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Nadzri Hussain berkata, antara kesalahan yang banyak dilakukan adalah tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada nombor pendaftaran.

“Daripada jumlah itu, cukai jalan telah tamat tempoh dikesan menjadi kesalahan tertinggi dengan 66 saman dikeluarkan diikuti kesalahan tiada lesen memandu dengan 58 saman.

Dalam operasi ini, seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di Sentul turut ditahan.

Suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Inu Pejabat Polis Daerah IPD Sentul untuk tindakan lanjut.

Operasi yang bermula kira-kira 9 malam ini turut menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer di laluan berkenaan berikutan semua penunggang dan pembonceng motosikal diarahkan berkumpul di lokasi terbabit untuk pemeriksaan.

Beberapa penunggang motosikal juga bertindak melarikan diri termasuk menunggang menongkah arus.

Namun tindakan itu gagal apabila berjaya ditahan oleh polis. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.