Permohonan Tengku Sulaiman Kes Saman Tuntut Takhta Sultan Terengganu Gagal

PUTRAJAYA – Kerabat Diraja Terengganu, Tengku Sulaiman Tengku Abdul Halim, gagal dalam pemohonannya supaya kes saman dikemukakan beliau behubung tuntutan takhta Sultan Terengganu, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk dibicarakan.

Tengku Sulaiman mendakwa, beliau adalah pewaris sah daripada keturunan Tengku Ali Ibni Al-Marhum Sultan Sulaiman mengikut Perlembagaan Negeri Terengganu 1911.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersidang bersama-sama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Tengku Sulaiman.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan hujahan peguam responden bahawa perkara berkenan sudah diputuskan mahkamah sebelum ini dan tidak boleh diteruskan oleh pihak sama.

Tengku Sulaiman merayu keputusan Mahkamah Tinggi Terengganu pada 21 Disember tahun lalu, yang membenarkan permohonan defendan (di peringkat Mahkamah Tinggi) untuk membatalkan pernyataan tuntutan beliau.

Semua defendan adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin; Isa @ Ghazali Endut; Tengku Ibrahim Tengku Hussain; Syed Omar Abdul Kadir Al-Idrus; Shaikh Harun Shaikh Ismail, semua didakwa sebagai ahli semasa Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan kerajaan negeri.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya pada 26 September 1942, Tengku Sulaiman berkata, Tengku Ali menduduki takhta Kerajaan Terengganu berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III.

Bagaimanapun, Tengku Ali diturunkan daripada takhta itu pada 5 November 1945 oleh Jemaah Pangkuan Negeri Terengganu, kini dikenali sebagai Dewan Pangkuan Diraja Terengganu dan melantik bapa saudara Tengku Ali iaitu Tengku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin III sebagai Sultan Terengganu.

Tengku Sulaiman selaku perayu berkata, Tengku Ali mempunyai anak sulung lelaki berusia 11 tahun iaitu Tengku Abdul Halim Tengku Ali, yang sepatutnya menggantikan ayahandanya sebagai Sultan Terengganu.

Beliau yang juga cucu sulung kepada Tengku Ali, diwakili peguam T Mura Raju, manakala semua responden diwakili peguam Tan Sri Cecil Abraham. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.