Pas Sah Tanding Tiga Kerusi Panas

KUANTAN – Pas Pahang semalam mengesahkan akan bertanding tiga kerusi panas di PRU akan datang membabitkan Parlimen Kuantan, Indera Mahkota dan Bentong.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, dalam masa sama turut tidak menafikan berkemungkinan Pas akan bertanding di semua kerusi yang ada di negeri ini.

Katanya, berdasarkan penetapan tersebut jelas menunjukkan mereka yakin dan sudah bersedia untuk memerintah negeri ini tahun hadapan.

“Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi Dun dan Parlimen sebanyak 14 kerusi, tak mustahil kita akan bertanding semua.

“Bagi daerah Bentong bukan sahaja Parlimen malah kesemua Dun kita akan bertanding.

“Namun begitu kita sudah menetapkan sekurang-kurangnya 30 kerusi di peringkat Dun dan 10 kerusi Parlimen di negeri ini akan diletakkan calon Pas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita dalam satu sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Pas Pahang bersama Media, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu.

Dalam pada itu, Andansura berkata, dalam usaha menggantikan kerajaan sedia ada Pas Pahang bersedia memberikan dua tawaran (manifesto) baharu buat rakyat negeri ini.

“Berdasarkan kajian kita telah memutuskan bakal mengagihkan tanah lot tapak rumah seluas 1,500 kaki persegi kepada semua rakyat yang layak.

“Selain itu, membangunkan tanah terbiar di negeri ini yang berpotensi untuk dibangunkan kepada golongan belia sebagai sumber pendapatan dan ekonomi dalam bidang pertanian,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.