Nama Sebenarnya Mahathir Mohd Iskandar Kutty, Kata Pemimpin PKR

KUALA LUMPUR – Isu identiti Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dibangkitkan oleh pemimpin PKR, R Suresh Kumar dan disiarkan dalam portal pro pembangkang pada 2 Februari 2013.

Beliau ketika itu merupakan pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa taraf kerakyatan Dr Mahathir disiasat kerana menurut dakwaannya keturunan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu berasal dari India.

“Nama penuh Mahathir adalah Mahathir Mohd Iskandar Kutty. Perkataan Kutty bermaksud ayahnya seorang India Muslim,” kata R Suresh dipetik dari laporan portal Free Malaysia today bertarikh 2 Februari 2013.

Pemimpin PKR berkenaan membangkitkan isu kerakyatan dan identiti sebenar bekas Perdana Menteri itu susulan gesaan Dr Mahathir yang sebelumnya mempertikaikan tindakan meluluskan kerakyatan kepada kaum Cina dan India pada masa lalu.

“Jika dia (Mahathir) mempersoalkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada kaum India dan Cina sebelum kemerdekaan, maka nenek moyangnya juga mesti disiasat termasuk kewarganegaraannya sendiri,” katanya.

Tinjauan SuaraTV di laman sosial Facebook dan blog turut mendapati isu ‘Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty’ telah lama dibangkitkan penyokong pembangkang malah aktivis Hishamuddin Rais juga dalam tulisan pernah menggunakan nama berkenaan untuk merujuk kepada Dr Mahathir.

“Mahathir Anak Lelaki Iskandar Kutty memadamkan ‘Anak Lelaki’ untuk kelentong orang Melayu. Sangkaran Pillai menukar naka (nama?) menjadi Chandra Muzaffar untuk tipu Melayu. Justeru manusia akan melakukan apa sahaja untuk keuntungan diri,” tulis Hishamuddin Rais menerusi artikel bertajuk “Cui bono, siapa untung?” yang disiarkan lidah rasmi PKR, keadilandaily.com pada 15 Mac 2013.

Sementara itu, rakaman video ceramah Anwar Ibrahim yang pernah membangkitkan isu keturunan Dr Mahathir turut dikesan viral di media sosial sejak semalam.

“Cuba tanya Mahathir dia dari mana?..(Kerala.. kerala.. kerala..India.. dijawab oleh hadirin).. ayah dia dari pada mana? ” kata Anwar dipetik dari video tersebut yang direkodkan ketika beliau berceramah di Tebrau Johor pada 2013.

Isu identiti sebenar Dr Mahathir kembali mencuri perhatian umum apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan penutup mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya semalam menunjukkan salinan kad pengenalan yang memaparkan nama “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.

“Betullah dia kata kita ni mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty,”

“Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. UMNO ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang,” katanya. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.