Munafik Lonjak Syamsul Pengarah Terbaik

PENGARAH Syamsul Yusof mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul kategori Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pacific ke-57 yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, semalam.

Syamsul, 33, yang juga anak kepada penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam menang menerusi filem Munafik.

Dalam filem berkenaan, Syamsul turut membawa watak utama bersama Nabila Huda.

Syamsul ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima anugerah sebesar itu pada usia sekarang.

“Saya tak pernah meletakkan sebarang harapan tinggi untuk filem ini ke peringkat antarabangsa, malah jauh sekali untuk menang.

“Ketika Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menghantar pencalonan, saya sangat berbesar hati walaupun Munafik adalah antara filem yang ‘kerdil’ berbanding saingan lain,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang menerima berita kemenangan itu menerusi bapanya menganggap filem berbentuk dakwah semakin diterima sehingga ke peringkat global.

“Saya rasa, genre filem sebegini mampu membuka mata pihak luar dan Munafik bukanlah filem seram semata-mata, tetapi sarat dengan mesej dan pengisian.

“Siapa sangka, walaupun tunjang utamanya adalah filem keagamaan, ia diberi pengiktirafan antarabangsa dan dakwah itu dapat dilihat,” katanya.

Di tanah air, Munafik turut mencatat sejarah apabila menjadi filem paling laris dengan kutipan melebihi RM18 juta.

Kemenangan Syamsul itu sekali gus mengulangi kejayaan Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Yasmin Ahmad yang pernah memenangi kategori sama.

Syamsul juga berharap supaya pengkarya filem tempatan bergiat lebih aktif tanpa memikirkan pelaburan yang terlalu besar.

“Munafik sendiri tidak meletakkan pelaburan tinggi sebagai nilai, sebaliknya kerana pengolahan skrip serta idea membuatkannya pergi jauh dan diterima ramai,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.