Menjelang Akhir 2017, Malaysia Akan Meterai FTA Dengan Hong Kong Dan Iran

SERDANG,- Malaysia dijangka memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Hong Kong dan Iran menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata Malaysia setakat ini sudah memeterai 13 FTA dengan rakan ASEAN serta rakan dialog yang lain.

“Kita perlu mempercepatkan lagi pemeteraian FTA ini ketika Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sedang mencatat kemajuan.

“Malah, FTA antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) juga sedang diusahakan,” katanya kepada pemberita selepas satu sesi penglibatan dan perbincangan mengenai prestasi perdagangan serta pelaburan Malaysia di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ong berkata sektor minyak sawit menjadi tumpuan berikutan kebimbangan mengenai pendirian serta dasar diskriminasi EU terhadap komoditi berkenaan.

EU merupakan pasaran minyak sawit terbesar Malaysia yang mana eksportnya bernilai RM10 bilion pada 2016. 

FTA antara Malaysia dan 27 negara-negara EU juga dijangka meningkatkan perdagangan sebanyak  20 peratus hingga 30 peratus berbanding 10 peratus ketika ini.

EU adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah dagangannya pada Januari lepas menokok 9.7 peratus kepada RM12.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pada 2016, perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada RM149.1 bilion.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.