Mangsa Samun Berjaya Tangkap Suspek

Seorang tukang rumah yang disamun dua lelaki bermotosikal di Jalan Betik, di Bukit Mertajam kelmarin, bertindak nekad mengejar suspek dan berjaya menahan salah seorang daripada mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira 9.40 malam, mangsa berusia 44 tahun sedang menunggang motosikal sebelum dua suspek datang dari arah belakang dan menyamun beg silang lelaki berkenaan.

“Mangsa bertindak mengejar motosikal dinaiki dua lelaki itu hingga ke Jalan Maju dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum dua anggota polis trafik yang melihat kejadian itu membantu tukang rumah tersebut.

Seorang daripada suspek berjaya ditahan manakala rakannya melarikan diri dengan motosikal yang ditunggangnya dan polis turut merampas beg silang mangsa yang mengandungi wang tunai serta dokumen bersama lelaki tersebut,” katanya di Bukit Mertajam, semalam.

Beliau berkata berdasarkan siasatan lelaki berusia 36 tahun yang ditahan itu dan rakannya berumur 30-an dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun serta ragut di sekitar daerah SPT sejak beberapa bulan lepas.

Nik Ros Azhan berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek yang identitinya telah dikenal pasti itu giat dijalankan manakala rakannya seorang penganggur ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berumur 29 dan dua remaja perempuan berusia 18 serta 22 tahun dipercayai pengedar dadah dan merampas kira-kira 50 gram heroin serta syabu bernilai RM3,207 di tepi jalan Kampung Baru Alma, di sini awal pagi tadi.

Katanya, semasa ditahan mereka dipercayai sedang menunggu penagih dadah untuk menjual syabu serta heroin yang dirampas itu dan siasatan juga mendapati tiga individu berkenaan terlibat dalam kegiatan mengedar dadah sejak beberapa bulan lepas.

“Ketiga-tiga mereka positif dadah dan lelaki yang ditahan turut mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah manakala dua remaja berkenaan masing-masing mempunyai satu rekod dadah,” katanya.

Beliau berkata mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-Bernama

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.