Liow: Sokongan Di P Pinang Akan Beralih Pada MCA, Gerakan

MCA yakin dengan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi di Pulau Pinang kerana mereka sudah hilang kepercayaan terhadap DAP yang gagal menunaikan janji selepas mengambil alih negeri ini selama sembilan tahun.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga hari ini, pelbagai janji tidak dilaksanakan dan Ketua Menteri Lim Guan Eng dilihat terus memperdaya rakyat dan sentiasa cuba memecahbelahkan rakyat dalam usahanya meraih undi.

“Saya yakin pada pilihan raya umum akan datang, perubahan akan berlaku dengan sokongan beralih daripada DAP kepada MCA dan Gerakan…kita bekerja keras untuk dapatkan sokongan rakyat di Pulau Pinang.

 

“Saya juga minta pengundi Cina memberi kekuatan kepada MCA kerana kita dalam kerajaan yang dapat memperkuatkan institusi kenegaraan yang berbilang-bilang kaum dan inklusif,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan SJK(C) Yu Chye di Balik Pulau, hari ini.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha meningkatkan lagi keharmonian rakyat dan berada di landasan betul dalam mengatur strategi untuk membangunkan masa depan negara.

Sebagai contoh, katanya, pelancaran tren Aliran Transit Massa (MRT) baru-baru ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional mampu melaksanakan pelbagai program untuk masa depan negara yang lebih baik. -Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.