Lima Jam Siap – Zizan Razak

KUALA LUMPUR: Sempena filem lakonan terbarunya, Abang Long Fadil 2, pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak, merakamkan lagu berjudul Kaki Licik.

Bahkan, video muzik lagu berkenaan juga sudah dihasilkan dan ia hanya mengambil masa lima jam saja untuk disiapkan.

Kaki Licik turut menyaksikan gandingan Zizan bersama beberapa kumpulan seperti Viral dan Lawa Nie Geng.

Selain lagu terbabit, sebuah lagi lagu, Senorita, yang dinyanyikan tiga pelakon filem terbabit iaitu Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal dan Shuib Sepahtu akan turut dipromosikan bagi mengalu-alukan karya genre aksi komedi arahan Syafiq Yusof itu, yang ditayangkan mulai 24 Ogos depan.

“Sudah menjadi aliran semasa apabila drama, telefilem atau filem akan disokong dengan lagu runut bunyi. Saya sendiri tidak mahu ketinggalan. Saya dan teman gandingan lain mencipta lagu ini dari kosong hingga siap. Judul Kaki Licik pula diberi kerana ia dilihat sesuai dengan karakter Fadil yang saya pegang dalam filem berkenaan.

“Menghasilkan lagu ini bukan kerja yang mudah, tetapi menyeronokkan. Hampir empat malam berturut-turut, dari malam hingga hampir Subuh, kami berada di studio.

“Orang yang saya takuti ketika lagu ini dibuat adalah Datuk Yusof Haslam sendiri, yang menjadi orang penting produksi Skop Productions. Tiap-tiap hari beliau akan tanya sama ada lagu ini sudah siap atau sebaliknya?” cerita Zizan kepada BH Online.

Selain itu, kata Zizan, beliau turut merujuk kepada pengarah filem berkenaan bagi membolehkan lagu terbabit dimasukkan pada babak yang dikira sesuai.

“Syafiq nyata berpuas hati dengan lagu ini. Pernah pada satu tahap, Syafiq cakap, jangan tunjukkan lagi lagu ini kepada ayahnya (Yusof ). Namun saya tunjuk juga dan mujur Datuk Yusof memberi maklum balas positif,” katanya.

Ditanya mengenai penghasilan video muzik lagu berkenaan yang berjaya dihasilkan dengan pantas, Zizan hanya tersenyum bangga.

“Kalau produksi orang lain, mungkin penghasilan video muzik akan memakan masa berhari-hari,” katanya.

Abang Long Fadil 2 sekali lagi mengetengahkan Zizan sebagai teraju utama, selain disokong Syamsul, AC Mizal, Achey, Shuib, A Galak, Wak Doyok dan Tania Hudson.

Ia diterbitkan secara kerjasama oleh Skop Productions Sdn Bhd dengan Astro Shaw Sdn Bhd.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.