Kekalkan Roh Islam Di Kampong Bharu Kata Zahid

KUALA LUMPUR – Pembangunan serta kemajuan Kampong Bharu perlu seimbang dengan roh Islam serta Melayu yang sudah ada sejak kampung itu wujud lebih 100 tahun dahulu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia harus mempamerkan elemen baharu dan lama, dunia serta akhirat selain tidak lari dari identiti kampung maju di tengah bandaraya.

“Perubahan merupakan satu gelombang yang harus kita serap, dalam keadaan yang begitulah saya merasakan apabila kerajaan dengan tindakan sangat proaktif menubuhkan PKB pada tahun 2012.

“Datuk Affendi adalah tenaga di belakang dan depan tabir yang telah mengaktifkan PKB hingga merealisasikan pembangunan di Kampong Bharu tanpa mengetepikan nilai-nilai Islam dan kemelayuan di dalamnya,” katanya semasa berucap semasa merasmikan Projek Residensi RAH Kampung Baru di tapak projek di Jalan Sultan Ali, Kampong Baru, di sini hari ini.

Projek pembangunan moden di kawasan segitiga emas Kuala Lumpur yang merangkumi 187 unit kondominium mewah 39 tingkat itu dibangunkan RAH Properties Corporation Sdn Bhd (RAH Properties) dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.

Projek yang bermula Mei 2016 dijangka siap pada Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembangunan sebanyak RM145 juta termasuk kos pengambilan tanah RM25 juta.

Turut hadir Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani Pengerusi Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari dan Pengerusi RAH Properties, Datuk Abd Rahim Ibrahim.

Dalam pada itu jelas Ahmad Zahid, pembangunan Kampong Bharu tidak akan mengetepikan agama lain.

“Semua pihak termasuk penduduk Kampong Bharu akan dapat memberikan sokongan kepada pemaju pembangunan supaya ia setaraf dan selari dengan pembangunan di sekelilingnya.

“Saya rasakan bahawa sesuatu baik itu sukar dilakukan, terlalu banyak kekangan dan halangan biarpun perubahan itu diniatkan untuk tujuan baik, pasti Allah uji kita.

“Kebenaran itu selalunya datang untuk menguji sama ada kita mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing, sudah pasti penduduk asal Kampung Baru sudah diuji dengan semua elemen itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, AHmad Zahid mahu penduduk Kampong Bharu menggunakan masjid-masjid di kampung itu sebagai lokasi penyebaran ilmu.

“Ia sesuai dengan semangat Islam. Kita tidak mahu hanya pembangunan fizikal dengan tidak ramai orang yang datang ke masjid-masjid,” jelasnya, lapor Awani.

Kampong Bharu dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.

Sebelum ini, PKB yang menjadi perantara kerajaan dan pemilik tanah Kampong Bharu menyatakan sebanyak 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Penduduk Kampong Bharu sebelum ini juga disifatkan berada dalam ketakutan selagi kerajaan tidak memberi perincian terhadap pembangunan kawasan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.