Bayi Perempuan Meninggal Dunia Selepas Tak Sedarkan Diri Di Rumah Pengasuh  

ALOR SETAR – Seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan yang ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Padang Serai, Kulim dekat sini Jumaat lalu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

Bayi tersebut, Hayfa Afrina Mohd Nasri disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) HSB kira-kira pukul 3.40 petang semalam.

Menurut bapa bayi itu, Mohd Nasri Mohd Yusof, 26, dia menerima mesej daripada pengasuh yang juga jirannya bahawa anak tunggalnya kelihatan pucat kira-kira pukul 4 petang, Jumaat lalu.

“Saya terus ke rumah pengasuh dan mendapati anak saya sudah tidak sedarkan diri dan segera membawanya ke Hospital Kulim untuk rawatan.

“Anak saya bagaimanapun dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut dan dirawat di ICU sebelum meninggal dunia semalam,” katanya, lapor Kosmo.

Kata beliau yang merupakan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim, pengasuh ada memaklumkan bahawa anaknya terjatuh sehari sebelum kejadian, namun anaknya tidak menunjukkan sebarang kelainan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian dan siasatan awal dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.