Audit: Pinjaman Kerajaan Tahun 2016 Berkurangan 17.7 Peratus

KUALA LUMPUR – Pinjaman Kerajaan pada 2016 berkurangan 17.7 peratus atau RM21.505 bilion kepada RM99.859 bilion berbanding RM121.364 bilion pada 2015, menurut Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2016.

Pengurangan pinjaman antaranya disebabkan kerajaan tidak lagi membuat pinjaman bagi membiayai pinjaman perumahan kakitangan awam apabila Bahagian Pinjaman Perumahan dikorporatkan.

Selain itu, obligasi kerajaan untuk membuat bayaran balik pinjaman dalam negeri pada 2016 berkurangan kerana sebahagian pinjaman belum mencapai tempoh matang untuk tebusan semula dan sebahagian lagi belum mula tempoh bayaran balik.

Pinjaman kerajaan pada 2016 terdiri daripada pinjaman luar negeri berjumlah RM5.982 bilion (6.0 peratus) dan pinjaman dalam negeri berjumlah RM93.877 bilion (94.0 peratus).

Pada 2016, hasil Kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM212.421 bilion berbanding 2015 yang berjumlah RM219.089 bilion.

Penyumbang utama kepada hasil Kerajaan Persekutuan adalah cukai pendapatan yang berjumlah RM102.350 bilion dan cukai barang dan perkhidmatan yang berjumlah RM41.206 bilion.

Sehingga akhir 2016, sejumlah RM20 bilion telah diterima daripada Syarikat Pembinaan PFI Sdn Bhd, sebuah syarikat bertujuan khas yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan, di mana RM19.412 bilion (97.1 peratus) daripadanya telah dibelanjakan.

Pada akhir 2016, Kerajaan Persekutuan mempunyai kepentingan di dalam 109 agensi yang terdiri daripada satu agensi antarabangsa, enam badan berkanun persekutuan dan 102 syarikat.

Nilai buku pegangan saham Kerajaan Persekutuan pada akhir 2016 ialah RM30.926 bilion iaitu meningkat RM0.610 bilion (2.0 peratus) berbanding RM30.316 bilion pada akhir 2015.

Penyumbang utama peningkatan nilai buku pelaburan adalah peningkatan pelaburan dalam Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) apabila lebihan geran yang diberikan kepada SPNB ditukar kepada ekuiti, menurut laporan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.