Piala Malaysia: JDT Tumbang, Kelantan, NS & PDRM Ceria

KUALA LUMPUR – Jaringan tunggal pasukan Kelantan menerusi sepakan penalti pemain import, Blazhe Ilijoski meletakkan pasukan itu mendahului kumpulan B saingan Piala Malaysia 2016 pada perlawanan malam tadi.

 

Ilijoski menjaringkan gol sepakan penalti itu pada minit ke-50 selepas rakan sepasukannya, Wan Zahrulnizam Wan Zakaria dikasari oleh pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam kawasan kotak penalti di Stadium Sultan Mohammad ke-IV, Kota Bharu.

 

Kelantan mendahului carta kumpulan dengan tujuh mata manakala Selangor di tangga kedua dengan empat mata selepas tewas kepada Pahang 0-1 hasil jaringan Matthew Thomas Davies pada minit 31 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

 

Kumpulan C pula menyaksikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal mendahului carta dengan tujuh mata selepas menang 2-1 menewaskan PKNS FC yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor.

 

Dalam perlawanan itu, PKNS FC terlebih dulu menjaringkan gol seawal minit ke-10 menerusi Matias Nicolas Hadwa dan PDRM menyamakan kedudukan menerusi jaringan Guilherme De Paula Lucrecio pada minit 26 kemudian Guilherme bertindak cemerlang mengesahkan kemenangan PDRM pada minit 68.

 

Mengekori rapat dalam kumpulan C adalah pasukan Perak dengan enam mata selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-0 di Stadium Perak, Ipoh menerusi jaringan Xhevahir Sukaj pada minit ke-17 dan Fazrul Hazli pada minit 42 dan 66.

 

Pemain JDT, S Chanthuru dilayangkan kad merah pada minit ke-60 kerana mengasari pemain tuan rumah.

 

Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pasukan tuan rumah, Terengganu dikecewakan di laman sendiri dengan dua jaringan Negeri Sembilan oleh Goran Jerkovic menerusi sepakan penalti pada minit 72 dan tujuh minit kemudian Muhd Afiq Azmi mengesahkan kemenangan pasukan.

 

Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit 23 oleh pemain import mereka Bogdan Milic dan kekalahan itu menyaksikan Terengganu jatuh di kedudukan terakhir kumpulan dengan tiga mata.

 

Negeri Sembilan menduduki tempat kedua kumpulan D berkongsi enam mata dengan pendahulu carta, FELDA United melalui perbezaan jaringan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.