Zahid Hubungi Muhyiddin Berhubung Isu Penyebaran Video

Kuala Lumpur – Tan Sri Muhyiddin Yassin telah banyak menyumbang kepada kerajaan dan parti selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan juga Timbalan Presiden UMNO, serta meminta semua pihak menghormati situasi yang sedang dihadapinya pada ketika ini.

 

Itu reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya sama ada perlunya tindakan undang-undang atau politik diambil terhadap Muhyiddin berhubung rakaman video di kediamannya baru-baru ini.

 

Ahmad Zahid berkata yang penting ialah pendirian Muhyiddin itu untuk terus bersama dengan parti dan kerajaan.

 

“Saya sendiri bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin… rakaman itu tidak merupakan saluran rasmi untuk beliau nyatakan sebagaimana yang terdapat dalam rakaman berkenaan. Ia jadi viral kerana seolah-olah ada pandangan antagonistik yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin.

 

“Sebenarnya pendirian beliau jelas sebagai Timbalan Presiden UMNO, beliau akan tetap sokong tindakan oleh parti. Beliau juga menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya (terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat), beliau juga akan menyokong supaya undi tidak percaya itu tidak dijalankan.

 

“Ertinya pendirian beliau amat jelas, beliau hendak terus bersama dengan kepimpinan parti dan kerajaan,” jelasnya.

 

Beliau berkata demikian mengulas video yang menunjukkan Muhyiddin yang didakwa menyebut Najib mengakui wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung wang RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Menurut Ahmad Zahid, semua pihak perlu menghormati prosedur siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas.

 

“Oleh itu biarlah hasil daripada siasatan yang dilakukan itu mendedahkan kebenaran.

 

“Jangan membuat sebarang spekulasi,” tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak melihat wujudnya sebarang kesalahan di sebalik penyebaran video berkenaan.

 

Jelas Khalid, rakaman selama 57 saat itu hanyalah perbualan yang menyebut mengenai sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun seseorang.

 

“Saya tidak fikir ia merupakan satu kesalahan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.