Wanita Kerat Lapan Bayi Dipenjara 12 Bulan

Jitra – Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap seorang wanita kerana menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian, awal bulan ini.

 

Majistret Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Farihah Abd Aziz, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

 

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara mengeratnya kepada lapan bahagian dan membuangnya ke dalam lubang tandas.

 

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari hingga 3 petang pada 6 Julai lepas di dalam bilik mandi di sebuah rumah di Kampung Manggol, Mukim Malau Jitra, Kubang Pasu.

 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ummi Kalthum Zakaria. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.