Tugas LZS Selaras Pemberian Zakat Bukannya Pemimpin PKR Cabang – NGO

SHAH ALAM – Satu laporan polis dibuat Angkatan Rakyat Sedar (Aras) berhubung isu pengagihan wang zakat bernilai RM5 juta oleh Kerajaan Selangor yang didakwa meragukan.

 

Ahli Jawatankuasa Aras, Nasiruddin Mohamed berkata, isu tersebut perlu disiasat segera kerana melibatkan integriti sebuah anak syarikat kerajaan negeri iaitu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

 

Menurutnya, tindakan kerajaan negeri mengagihkan dana zakat RM5 juta melalui DEIG melalui jentera parti politik melibatkan pimpinan utama dan ketua-ketua cabang PKR dan bukannya menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) menimbulkan keraguan.

 

“Kita mempersoalkan senarai penerima yang disediakan DEIG. Adakah mereka benar-benar golongan asnaf yang layak terima zakat,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

 

Nasiruddin berkata, pihaknya membuat laporan polis atas rasa keprihatinan mereka bahawa sepatutnya LZS yang menyelaras semua penerimaan dan pengagihan zakat, bukannya pihak yang tidak berkenaan kerana nilai RM5 juta adalah satu nilai yang besar.

 

Katanya lagi, pihaknya menuntut kerajaan negeri supaya menyenaraikan nama-nama penerima untuk kesemua wang zakat berjumlah RM5 juta tersebut jika benar mereka mengamalkan prinsip tadbir urus yang baik merangkumi ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti.

 

“Apa yang kita tahu sebanyak RM157,000 disalurkan di Pahang sebagaimana laporan sebuah akhbar tempatan pada 23 Julai lalu.

 

“Soalnya, mana baki selebihnya disalurkan? Kita melihat pemberian zakat menjurus kepada rasuah untuk mengambil hati pemimpin PKR peringkat cabang,” katanya.

 

Sehubungan itu, katanya lagi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perkara ini bagi memastikan tiada elemen rasuah yang boleh mempengaruhi pemilihan PKR tidak lama lagi.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Soffan Affendi Aminudin berkata,  Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan anak-anak syarikatnya menguruskan aset-aset kerajaan negeri berlandaskan hukum syarak termasuk membuat pembayaran zakat perniagaan berdasarkan kepada keuntungan syarikat.

 

Sambil menegaskan perkara itu, katanya, segala proses-proses yang terlibat dalam hal-ehwal zakat sentiasa mematuhi kehendak syariah Islam dan mengamalkan tadbir urus korporat yang terbaik.

 

“Seperti sedia maklum, DEIG baru saja ditubuhkan pada bulan Mei lalu,  justeru tidak tertakluk kepada kehendak syarak untuk membayar zakat bagi tahun ini,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.