Tiga Lelaki Terbabit Dadah Nyaris Maut

Kuantan – Tiga lelaki termasuk seorang yang dikehendaki polis berkaitan kes penyalahgunaan dadah, nyaris maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang, di Jalan Hoe Lek, di sini, awal pagi tadi.

 

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang dipercayai dalam pengaruh dadah tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh, berkata anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti yang tiba untuk membantu, mendapati semua mangsa dalam keadaan mencurigakan.

 

“Mereka kemudian dibawa ke IPD Kuantan untuk pemeriksaan lanjut dan pemandu kereta itu didapati berada dalam senarai orang yang dikehendaki polis berhubung kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta mempunyai tiga rekod jenayah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

 

Hasil ujian air kencing juga mendapati pemandu berusia 34 tahun itu dan dua lagi rakannya masing-masing berumur 18 tahun positif dadah jenis amphethamine.

 

Abdul Aziz berkata, polis turut menyiasat sama ada kenderaan dinaiki suspek dicuri atau sebaliknya.

 

Katanya, semua suspek ditahan reman selama empat hari di Lokap IPD Kuantan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.