Serang Polis Dengan Payudara, Seorang Wanita Di Penjara

Hong Kong – Seorang wanita Hong Kong dijatuhi hukuman penjara tiga bulan setengah selepas mahkamah hari ini, mendapatinya bersalah menggunakan payudara untuk ‘menyerang’ pegawai polis ketika satu perhimpunan bantahan.

 

Ng Lai-ying, 30, yang mengambil bahagian dalam bantahan terhadap perniagaan merentas sempadan tanah besar China, pada Mac lalu, didapati bersalah menggunakan dadanya untuk melanggar lengan Ketua Inspektor Chan Ka-po ketika tunjuk perasaan di daerah Yuen Long/

 

South China Morning Post melaporkan, sebelum ini, Ng memberitahu mahkamah dia menjerit ‘serangan tidak senonoh’ kerana takut selepas tangan Chan mengenai payudara kirinya selepas polis itu gagal memegang tali beg wanita itu.

 

Chan mendakwa Ng melanggarnya dengan payudaranya.

 

“Jika saya tidak mengenakan hukuman tegas, orang ramai akan menganggap serangan terhadap polis ketika tunjuk perasaan bukan kesalahan serius,” kata Majistret Michael Chan.

 

Menurutnya, mahkamah mendapati Ng menggunakan identitinya sebagai wanita sebagai muslihat mendakwa pegawai polis itu mencabulnya.

 

Ng yang bekerja sebagai kerani diikat jamin sementara menunggu rayuan dan dia kelihatan terkejut selepas keluar dari mahkamah dengan puluhan penyokongnya menunggu.

 

Kemasukan jutaan pelancong China ke Hong Kong mendorong bantahan awal tahun ini oleh penduduk.

 

Hong Kong dibuka untuk pelancong China pada 2003 dalam usaha memulihkan ekonominya selepas wabak penyakit pernafasan SARS, membolehkan penduduk tanah besar China datang sebagai pelancong individu, bukannya melalui lawatan berkumpulan. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.