Persepsi Fitnah Memburukkan 1MDB – PM

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa kecewa terhadap sangka buruk orang ramai terhadap syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Perdana menteri berkata, perkara itu terjadi kerana persepsi fitnah yang terbentuk terhadap badan pelaburan itu.

 

“Kerana persepsi fitnah memerangi fikiran rakyat, maka satu kebaikan jadi salah.

 

“Sebab bila menyerang 1MDB, seolah-olah tak ada langsung jasa (1MDB) pada kita. Jasanya sebenarnya banyak,” katanya di Putrajaya, petang ini.

 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan surat tawaran haji kepada imam serta pengerusi jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung dan persekutuan terpilih di Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

 

“(Kini) persepsi lagi penting daripada realiti dan kebenaran. Mengapa timbul perkara ini, kita harus tanya diri kita.

 

“Kadang-kadang kita ini terjebak percaya pada satu-satu berita tanpa kita mencari kebenaran dan memeriksa dengan betul kebenaran faktanya,” katanya.

 

Beliau memberikan contoh kontroversi pembelian tanah 1MDB yang dilakukan Tabung Haji dan mewujudkan persepsi seolah-olah wang deposit pencarum tabung itu akan disalurkan kepada 1MDB.

 

“Apabila TH hendak beli sekeping tanah Tun Razak Exchange (TRX) kepunyaan 1MDB, bukan main riuh satu negara. Macam langit hendak jatuh.

 

“Seolah-olah TH punya simpanan deposit akan digunakan utk menyelamatkan 1MDB,” katanya.

 

Menurutnya, perkara tersebut menjadi buah mulut orang ramai dan ia tersebar pantas kerana “persepsi dunia hari ini terbentuk melalui jari-jari manusia”.

 

“Tapi realiti kebenaran adalah sebaliknya. Kebenarannya TH buat pelaburan, beli tanah yang tinggi nilai potensi pelaburannya sebab di TRX ada MRT di bawahnya. Ia jadi satu pusat kewangan nanti.

 

“Kalau TH ada bangunan di situ bayangkan keuntungan yang bakal diperoleh TH,” kata Najib.

 

Ini adalah kali pertama Najib bercakap tentang isu 1MDB yang menjadi sasaran pengkritiknya selepas merombak Kabinet pada 28 Julai.

 

Rombakan itu dilihat membantutkan siasatan ke atas 1MDB apabila Datuk Nur Jazlan Mohamed yang sebelum ini mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilantik menjadi timbalan menteri dalam negeri.

 

Kekosongan jawatan pengerusi PAC menyebabkan siasatan ke atas 1MDB tertangguh sehingga pengerusi baharu dilantik pada sidang Dewan Rakyat, Oktober depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.