Pasangan Kekasih Lakon Penculikan Minta Wang Tebusan

GEORGE TOWN – Sepasang kekasih, di mana gadis berusia 19 dan kekasihnya, 29 tahun, ditahan selepas disyaki sengaja berlakon diculik dan meminta wang tebusan daripada keluarga gadis berkenaan.

 

Menurut Ketua Polis Timur Laut Mior Farid Alathrash Wahid, gadis berkenaan meninggalkan rumah keluarga di Paya Terubong dua hari lalu, pada Rabu, untuk bertemu teman lelakinya dan tidak pulang.

 

Abang remaja perempuan itu bimbang dan cuba menelefon telefon bimbit adiknya tetapi tidak berjawab.

 

Pada jam 1.42 petang, abangnya yang bekerja di Mount Erskine, dikatakan menerima panggilan dari nombor telefon adiknya bertanyakan sama ada beliau adalah abang gadis itu.

 

Apabila abangnya menjawab ya, pemanggil terus mematikan panggilan.

 

Kira-kira 10 minit kemudian, nombor yang sama menghubungi beliau melalui sistem pesanan ringkas (SMS) meminta beliau memasukkan wang antara RM3,000 dan RM5,000 ke dalam satu akaun bank, sekiranya beliau mahu adiknya dibebaskan.

 

“Suspek turut mengancam akan mencederakan adik perempuannya sekiranya beliau membuat laporan polis atau gagal memasukkan wang serta pergerakannya dipantau ‘oleh salah seorang suruhannya.’

 

“Disebabkan takut dan bingung, abang remaja perempuan itu tidak menjawab SMS berkenaan sehingga satu lagi SMS diterima menggesa beliau menjawab sekiranya tidak mahu adiknya diapa-apakan.

 

“Tidak lama selepas itu suspek meminta abang remaja perempuan itu sama ada jumlah wang yang diminta telah dimasukkan ke dalam akaun tetapi dia menjawab tidak mempunyai wang sebanyak itu dan menunggu kawan-kawannya mengumpulkan jumlah wang yang diminta,” kata Mior kepada The Rakyat Post.

 

Suspek kemudian membuat panggilan sekali lagi tetapi kali ini panggilan itu dijawab oleh bapa remaja perempuan berkenaan dan meminta untuk bercakap dengan anaknya.

 

Beliau mendakwa mendengar suara anak perempuannya menangis dan meminta tolong serta minta dibebaskan sebelum talian diputuskan.

 

ACP Mior berkata, berdasarkan maklumat, satu kumpulan anggota polis dari Jabatan Jenayah Berat tiba di hadapan sebuah bank di Jalan Ria kira-kira jam 10.45 malam tadi dan menahan lelaki itu dan teman wanitanya.

 

Polis turut merampas telefon bimbit mereka, sebuah beg berjenama dan buku bank milik gadis berkenaan.

 

Siasatan polis turut mendedahkan lelaki berkenaan, seorang tukang urut mempunyai rekod jenayah ragut sebelum ini.

 

Kedua-duanya direman bermula hari ini.

 

Kes disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana menahan seseorang secara salah.

 

Sekiranya didapati bersalah, kedua-duanya boleh dihukum penjara setahun, atau dua tahun atau kedua-duanya. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.