MH370: Keputusan Dijangka Diketahui Esok Atau Lusa

Putrajaya – Keputusan sama ada serpihan bahagian sayap (flaperon) yang ditemui di Pulau Reunion berhampiran Madagascar kelmarin milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dijangka diketahui dalam tempoh satu atau dua hari lagi.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata ketika ini serpihan itu sedang dalam proses penghantaran ke Toulouse, Perancis untuk tujuan siasatan antara semua pihak terbabit.

 

“Isunya sekarang flaperon itu masih dalam perjalanan ke Toulouse dan tiada pihak boleh membuat pengesahan lagi.

 

“Apabila sudah tiba di sana, barulah siasatan boleh dilakukan dan Boeing juga akan menyertai siasatan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370 atau sebaliknya,”katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

 

Aziz berkata, kementerian turut menghantar pasukan penyiasat ke Toulouse yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

 

Semalam seorang pakar penerbangan Perancis mendakwa beliau mungkin sudah menjumpai serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MH370) yang hilang di perairan Malaysia pada Mac 2014.

 

Bekas juruterbang tentera, Xavier Tytelman yang kini pakar dalam bidang keselamatan penerbangan menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk di Pulau Reunion, di Lautan Hindi.

 

Lelaki berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu dan beliau berkata, ia mungkin milik pesawat hilang berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.