KPDNKK Serbu Plaza Low Yat, Rampas 11,174 Unit Aksesori Telefon Tiruan

KUALA LUMPUR – Sejumlah 11,174 unit aksesori telefon bimbit tiruan jenama Samsung dan Apple bernilai RM150,990 dirampas menerusi serbuan bersepadu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan imigresen, di Plaza Low Yat, di sini, kelmarin.

 

Sinar Harian melaporkan Ketua Setiausaha, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, operasi bermula jam 2.30 petang itu membabitkan pemeriksaan ke atas 120 premis yang dikenal pasti menjual barangan tiruan.

 

Menurutnya, tindakan itu dibuat susulan risikan KPDNKK dan juga aduan orang ramai.

 

“Kes disiasat bawah Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barang atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan dan syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 bagi setiap unit barang.

 

“Dalam operasi sama, pihak imigresen juga membuat tangkapan ke atas tiga pendatang asing membabitkan dua lelaki Bangladesh dan seorang Pakistan atas kesalahan tiada dokumen dan salah guna pas,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada serbuan berkenaan, 110 anggota agensi berkaitan terlibat, dan turut disertai wakil pemilik cap dagangan yang berdaftar.

 

Orang ramai boleh menghubungi talian 1-300-886-800, laman web http://eaduan.kpdnkk.gov.my atau datang sendiri ke pejabat KPDNKK untuk aduan berkaitan pengguna. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.