Kertas Siasatan SRC International Belum Diserah Kepada Pejabat Peguam Negara

Kuala Lumpur – “Kertas siasatan SRC International Sdn Bhd belum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai menolak dakwaan Sarawak Report mengenai kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya berkata siasatan terhadap bekas syarikat subsidiari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dijalankan, maka tidak perlu ada kertas pertuduhan.

 

“Seperti yang disebut dalam kenyataan akhbar pada 30 Julai, untuk menyelesaikan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd, SPRM perlu menemui beberapa saksi utama.

 

“Pada masa yang sama, SPRM menekankan kami tidak akan mendedahkan mana-mana maklumat mengenai siasatan ini kepada mana-mana pihak kerana ia melanggar undang-undang.”

 

Kenyataan itu turut menekankan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan mengenai kes yang melibatkan rasuah dan dan akan melakukannya secara bebas, telus dan profesional.

 

“Ia tidak bermaksud menjatuhkan mana-mana parti termasuk kerajaan.”

 

Dakwaan terbaharu Sarawak Report yang diterbitkan malam tadi, memaparkan imej sebuah dokumen didakwa kertas pertuduhan.

 

Laman web berkenaan mendakwa bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam proses menulis kertas pendakwaan yang menyatakan: “Pendakwa Raya lawan Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Dato’ Shamsul Anuar bin Sulaiman“.

 

Laman itu mendakwa lagi dokumen berkenaan dihantar kepada mereka susulan pemberhentian Abdul Gani sebagai Peguam Negara, baru-baru ini.

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai berhenti menyebarkan khabar angin berkenaan dakwaan yang diterbitkan Sarawak Report.

 

“Lampiran, yang sumbernya tidak diketahui, sama ada benar atau tidak, akan hanya mengelirukan orang ramai,” kata Khalid melalui akaun Twitter rasminya @KBAB51.

 

Pejabat Peguam Negara turut menafikan draf kertas pertuduhan itu dikeluarkan pejabat berkenaan.

 

Dalam Twit Timbalan Peguamcara 1, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata kepada BERNAMA: @bernamadotcom Draft pertuduhan yg diterbitkan oleh Sarawak Report tidak dibuat atau dikeluarkan oleh Jab Peguam Negara. Harap maklum.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.