GHB Dilancarkan 31 Ogos Guna Permit Parti KITA

Georgetown – Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengambil alih Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti itu 31 Ogos ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Interim GHB Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

 

Beliau berkata, pengambilalihan parti itu akan dibuat melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dijadual diadakan tidak lama lagi.

 

“Selepas EGM itu kami akan memohon kelulusan Pendaftar Pertubuhan, ia sama seperti penggabungan PKR dan Parti Rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelantikan dua Anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini hari ini.

 

Mujahid yang juga Anggota Parlimen Parit Buntar berkata, usaha untuk menubuhkan pakatan baharu akan lebih mudah selepas proses pengambilalihan parti itu selesai.

 

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow mengumumkan pelantikan semula dua anggota Majlis, Mhd Nasir Yahya (MBPP) dan Dahalan Fazli (MPSP) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

 

Chow berkata, pelantikan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 29 Julai lalu meluluskan untuk melantik semula dua anggota Majlis daripada PAS itu.

 

Mhd Nasir dan Dahalan sebelum ini meletak jawatan sebagai Anggota Majlis berikutan keputusan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-61 Jun lepas menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.