FAM Bentuk Jawatankuasa Khas Kaji Kemerosotan Skuad Negara

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan tujuh anggota Jawatankuasa Khas bagi mengkaji kemerosotan bola sepak negara dan kedudukan barisan kejurulatihan Harimau Malaya.

 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad serta turut dianggotai beliau sendiri.

 

Anggota lain ialah seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah; Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan.

 

Jawatankuasa itu turut disertai oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz.

 

“Melalui perbincangan beliau (pengerusi) baru-baru ini kesemua anggota yang terpilih untuk menjadi ahli Jawatankuasa Khas tersebut akan mengadakan mesyuarat pertama dalam waktu terdekat ini,” katanya di Kuala Lumpur semalam.

 

Sebelum ini, skuad kendalian Dollah Salleh menerima kritikan berikutan aksi hambar pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 setelah sekadar seri 1-1 menentang Timor Leste sebelum dimalukan Palestin 6-0.

 

Skuad Datuk Ong Kim Swee juga gagal meraih keputusan cemerlang pada Sukan SEA di Singapura, Jun lalu selepas tersingkir pada peringkat kumpulan, manakala skuad Harimau Muda B di bawah kendalian Razip Ismail pula gagal untuk layak ke Kejuaraan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 selepas tumpas kepada Vietnam dan Jepun. – KOSMO!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.