Dokumen Palsu: SKMM, Polis Akan Bertindak Ke Atas Sarawak Report

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa mengambil tindakan susulan terhadap portal berita, Sarawak Report kerana menyiarkan dokumen palsu penangkapan dan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Sambil menyifatkan tindakan portal itu sebagai berniat jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap Najib, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mahu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan terhadap portal berita itu.

 

“Secara rasmi saya ingin menafikan yang kononnya ada dokumen atau surat arahan atau saman bagi penangkapan dan pendakwaan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara kepada Perdana Menteri.

 

“Secara rasmi Peguam Negara telah menafikannya, termasuk penafian daripada beberapa orang pegawai mengesahkan tidak ada dokumen seumpama dikeluarkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Bukit Aman.

 

Sementara itu, pada sidang media yang sama, Khalid berkata, polis akan memulakan siasatan ke atas Sarawak Report mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana mengganggu gugat suasana demokrasi di negara ini.

 

Katanya, penafian telah dibuat Jabatan Peguam Negara semalam berkaitan dokumen itu dan tidak ada keperluan untuk menyoal bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

 

“Pada pandangan saya tidak perlulah tanya bekas peguam negara itu.

 

“Saya tidak mahu membuat apa-apa ulasan keputusan yang dibuat beliau (Abdul Gani Patail) kerana itu bukan bidang kuasa saya untuk mengulas.

 

“Saya jelaskan tindakan Pengasas portal itu, Clare Rewcastle Brown telah melanggar beberapa undang-undang negara kita. Laporan polis diterima semalam dan hari ini.

 

“Kita akan menjalankan siasatan tuduhan fitnah tidak berasas oleh Clare menerusi Sarawak Report, dibawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Khalid turut ditanya sama ada Abdul Gani akan dipanggil untuk menjelaskan dakwaan Sarawak Report dan dokumen itu, Khalid sekali lagi menegaskan ia tidak ada kaitan dengan bekas Peguam Negara itu.

 

“Apa kena mengena dengan bekas Peguam Negara dengan Sarawak Report… tidak ada sebab melainkan Peguam Negara sendiri memberitahu sesuatu mengenai perkara itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.