Dasar Pendidikan Negara Kekal – Mahdzir

Padang Terap – Kementerian Pendidikan akan mengekalkan dasar-dasar pendidikan sedia ada tetapi akan membuat pengubahsuaian jika terdapat keperluan, kata menterinya yang baharu Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

 

Beliau berkata walaupun dasar pendidikan sedia ada dikekalkan tetapi terdapat beberapa isu yang perlu diberikan perhatian termasuk berkenaan peningkatan bebanan tugas luar hakiki guru ketika ini.

 

“Dari semasa ke semasa kita akan tambah nilai dasar-dasar (pendidikan) sedia ada dan bukan bermaksud apabila berlakunya pertukaran Menteri Pendidikan, kita akan tukar semua sekali,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan rasmi untuk beliau di Kuala Nerang, di sini.

 

Katanya, dasar-dasar pendidikan negara telah digubal oleh mereka yang pakar dalam bidang pendidikan dengan objektif untuk menyediakan modal insan terbaik kepada negara.

 

Dalam rombakan Kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas, Mahdzir dilantik sebagai Menteri Pendidikan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut digugurkan sebagai timbalan perdana menteri.

 

Mahdzir sebelum ini ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan juga bekas Menteri Besar Kedah.

 

Berhubung dakwaan kononnya pelajar bakal menjadi mangsa setiap kali perubahan dasar akibat pertukaran Menteri Pendidikan, beliau berkata dakwaan itu tidak berasas dan lebih kepada “cakap-cakap pembangkang.”

 

Mengenai isu bebanan tugas bukan hakiki yang ditanggung guru, Mahdzir berkata kementerian memerlukan masa untuk mengkajinya.

 

Katanya, beliau terlebih dahulu perlu tahu apa yang dimaksudkan tentang bebanan luar tugas hakiki guru serta peratusannya terhadap keseluruhan tugas yang dilaksanakan oleh guru.

 

Lebih 1,000 masyarakat setempat hadir pada majlis sambutan rasmi untuk Mahdzir yang merupakan anggota Parlimen Padang Terap, yang diadakan di perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Padang Terap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.