DAP Pernah Tolak Cadangan SPRM Dedah Penyumbang Dana Politik

Kuala Lumpur – DAP dilihat bersikap hipokrit apabila mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi Barisan Nasional (BN), kata Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

 

Ujarnya, parti dominasi Cina itulah sebelum ini berkeras menolak cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan siapakah penyumbang dana kepada setiap parti politik, agar ia telus.

 

DAP beralasan cadangan SPRM itu akan menjejaskan penyumbang dana kepada parti pembangkang.

 

“Antara parti yang paling awal membantah reformasi pembiayaan adalah DAP. DAP memberi alasan ia adalah parti sara diri – dan itu amat mengecewakan. Pemimpin DAP bimbang perubahan berkenaan bakal merugikan parti terbabit.

 

“Dalam mesyuarat Transparency International – Malaysia (TI-M) bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada 1 Disember 2010, minit mesyuarat melaporkan Tian Chua sebagai berkata: “Beliau bimbang pengisytiharan penuh akan menjejaskan penyumbang dan seterusnya menjejaskan pembiayaan bagi parti pembangkang, kebimbangan bahawa penyumbang mungkin didakwa oleh parti yang menang kerana menyokong pakatan pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum,” ujar Rahman dalam laman blognya.

 

Bukan sahaja Tian Chua, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke Siew Fook juga menyatakan perkara yang sama ketika menjadi panel sebuah forum anjuran Majlis Peguam pada 29 September 2011 berjudul pembiayaan politik.

 

“Mengapa Pakatan Rakyat tidak boleh mendedahkan sumbangan diterima daripada ahli perniagaan dan individu sejak 2008 di dua negeri terkaya di Malaysia yang diperintahnya – Pulau Pinang dan Selangor?

 

“Jelas sekali, kebimbangan seperti disuarakan Tian Chua dan Anthony Loke tidak lebih daripada alasan remeh dan bukannya atas nama ketelusan,” tegas Rahman lagi.

 

Meskipun Najib didesak berkali-kali untuk mendedahkan penyumbang dana politik Umno BN, sekurang-kurangnya komitmen Ahli Parlimen Pekan itu boleh dipuji.

 

Ini kerana, ketika SPRM mengusulkan cadangan untuk mengisytihar senarai penyumbang dana politik semua parti di Malaysia, Najiblah orang pertama yang menyokong usaha itu.

 

“Apabila SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu mungkin mengejutkan anda.

 

“Tidak lain tidak bukan, ia adalah Datuk Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno yang secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap cadangan SPRM dan mahukan ia dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP),” tulis Rahman panjang lebar.

 

Tambah Rahman, keupayaan pembangkang memperuntukkan dana yang banyak setiap kali pilihan raya menjelang juga mewujudkan banyak persoalan.

 

Beliau juga menulis bahawa banyak pihak percaya, pembangkang turut menerima sumbangan dana politik daripada sumber luar negara.

 

“Pada Pilihan Raya Umum 2008 di Permatang Pauh (ketika Anwar Ibrahim bertanding kerusi Parlimen) buat pertama kalinya dalam kerjaya politik saya, BN benar-benar berhabis dari segi logistik dan jentera pilihan raya seperti poster, kain rentang dan aktiviti kempen.

 

“Saya masih ingat, setiap kali pekerja parti BN memacak satu bendera BN, ia pasti ditenggelami oleh bendera pembangkang dalam tempoh dua jam. Setiap kali BN memasang kain rentang besar, pembangkang akan melakukan perkara sama dengan kain rentang yang dua kali besar saiznya pada hari yang sama.

 

“Ternyata, tanpa pembiayaan politik yang banyak, parti pembangkang tidak mungkin dapat menggerakkan jentera pilihan raya secara besar-besaran,” ujarnya lagi.

 

Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk menangani kebimbangan banyak pihak terhadap kerahsiaan yang melingkari pembiayaan politik di negara ini disebabkan DAP, dakwa Rahman.

 

“Oleh itu, saya dapati agak menghairankan kebelakangan ini apabila pemimpin DAP seperti Tony Pua dan Lim Kit Siang kelihatan hipokrit dalam mendesak Datuk Seri Najib Razak mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi BN dan Umno, sedangkan mereka dengan keras menentang inisiatif perubahan pembiayaan politik sejak awal,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.