Bekas Pengarah Ranhill Mengaku Tidak Bersalah

Kuala Lumpur – Dua individu yang didakwa dengan tujuh pertuduhan atas kesalahan perdagangan orang dalam dan bersubahat yang melibatkan 309,100 unit saham Ranhill Power Berhad, dibebaskan atas ikat jamin RM150,000 setiap seorang.

 

Tertuduh pertama, bekas pengarah Ranhil Sdn Bhd, Amran Awaluddin, 46, mengaku tidak bersalah atas tujuh dakwaan perdagangan orang dalam (insider trading) di bawah Seksyen 89E (a) Akta Industri Sekuriti.

 

Beliau didakwa melakukan kesalahan antara Julai 2007 dan September 2007 di Bursa Malaysia Securities Berhad, Exchange Square, Bukit Kewangan di Kuala Lumpur.

 

Sementara itu, tertuduh kedua Nooralina Mohd Shah, 41, mohon dibicarakan di atas tujuh dakwaan bersubahat dengan Amran dan didakwa di bawah seksyen dan akta yang sama yang dibaca bersama Seksyen 122C (c) akta yang serupa.

 

Sekiranya didapati bersalah, mereka berdepan dengan penjara 10 tahun dan denda sehingga RM1 juta.

 

Ranhill Power Berhad merupakan syarikat pelaburan dalam industri minyak dan gas, elektrik, air dan infrastruktur.

 

Pegawai Pendakwa Raya Hashley Tajuddin dan Edzuan Ezzady menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin RM500,000 untuk Amran dan RM300,000 kepada Nooralina dengan syarat tambahan supaya mereka menyerahkan pasport mereka.

 

Amran yang diwakili pleh peguam Chong Loong Men meminta mahkamah mengenakan ikat jamin yang lebih rendah iaitu RM100,000 tanpa perlu anak guam menyerahkan pasportnya.

 

“Anak guam saya telah melalui dua pembedahan otak dan memerlukan pasportnya kerana beliau masih lagi mendapatkan rawatan di Singapura.”

 

Peguam Muhammad Radhi Azizan dan Syaiful Nazrin Mohd Rahim yang hadir bagi pihak Nooralina turut mengemukakan permintaan yang sama.

 

“Beliau kini tinggal di United Kingdom dan perlukan pasportnya untuk pulang ke Malaysia kerana anak perempuannya yang berusia tiga tahun yang menghidap penyakit Kawasaki dan perlu dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.”

 

Penyakit Kawasaki merupakan satu penyakit jarang berlaku, yang dihidapi kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang menjejaskan salur darah mereka.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan ikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin.

 

Mahkamah menetapkan perbicaran bersama untuk kedua-dua tertuduh bermula 23 hingga 27 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.