Bayi Palestin Maut, Rumah Dibakar Ekstrimis Yahudi

Kafr Duma – Seorang bayi warga Palestin yang berusia 18 bulan terbunuh, selepas rumahnya di Tebing Barat, disyaki dibakar sekumpulan ekstrimis Yahudi, hari ini.

 

Ibu bapa serta abang mangsa yang berusia empat tahun turut cedera dalam kebakaran itu.

 

Rumah mangsa di Kafr Duma itu hangus terbakar, ketika empat sekeluarga itu sedang tidur.

 

Sebuah rumah jiran mangsa turut mengalami kerosakan teruk, namun tiada yang cedera atau terkorban di rumah itu, kerana ia sudah dikosongkan.

 

Jurucakap polis, Luba Samri memaklumkan, slogan ‘Tanda Harga’ yang pernah digunakan ekstrimis Israel, diconteng di dinding rumah mangsa dekat bandar Nablus, di Tebing Barat.

 

“Ini adalah serangan yang disyaki bermotifkan nasionalis,” kata Samri.

 

Ini adalah serangan terburuk dilakukan ekstrimis Israel, sejak seorang remaja Palestin dibakar sehingga mati, untuk membalas dendam bagi tiga rakyat Israel yang dibunuh penculik mereka, setahun lalu.

 

Kumpulan ekstrimis Israel ‘Tanda Harga’ dipersalahkan untuk satu siri kebakaran masjid di Tebing Barat, sejak beberapa tahun lalu, untuk membalas dendam terhadap Israel yang mengambil tindakan ke atas penempatan haram.

 

Israel meruntuhkan dua bangunan yang dibina secara haram di penempatan Beit El, awal minggu lalu yang mencetuskan bantahan di kalangan penduduk Yahudi terhadap perobohan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.