Ambil Tindakan Terhadap Pelaku Edar Dokumen Palsu – Salleh Said

Kuala Lumpur – Tindakan harus diambil terhadap pelaku, yang mengedarkan pertuduhan palsu terhadap Datuk Seri Najib Razak, memandangkan perkara itu melampaui politik dan membabitkan keselamatan negara.

 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said Keruak membuat desakan itu berikutan dokumen palsu berkenaan menjadi viral di internet dan media sosial.

 

Katanya, dokumen itu adalah kertas pertuduhan palsu terhadap Perdana Menteri yang peguam negara sebelum ini didakwa sedang menyiapkan pertuduhan itu.

 

“Dokumen ini hanyalah rekaan dan dakwaan semata-mata, satu penipuan bertujuan mencetuskan kekacauan.

 

“Tindakan seperti ini adalah berbahaya kerana ia bukan saja tentang fitnah bertulis atau fitnah tetapi ugutan untuk menimbulkan kekacauan,” katanya dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.com hari ini.

 

Salleh berkata disebabkan implikasi dokumen berkenaan, ia telah menjadi viral dan ramai orang telah bercakap mengenai isu itu.

 

Katanya, Sarawak Report, yang mendedahkan dokumen itu, mendakwa draf kertas pertuduhan itu diberi kepada mereka oleh sumber dalaman dan ia telah mengesahkan kesahihan dokumen itu dengan ‘pihak atasan’ yang lain.

 

Beliau berkata Sarawak Report telah membayangkan bahawa dokumen itu adalah tulen.

 

“Berita yang mereka cuba putar belitkan ialah peguam negara akan menahan perdana menteri pada hari sama beliau dipecat, bermaksud ini adalah sebab peguam negara dipecat.

 

“Tuduhan seperti itu sudah pasti akan mengecewakan ramai orang dan menjadikan mereka amat marah dan mungkin akan mencetuskan kekacauan di negara ini,” katanya.

 

Salleh menggesa agar tindakan diambil untuk memelihara undang-undang dan menjamin rakyat Malaysia bahawa keselamatan mereka tidak diletakkan dalam bahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.