Adam Adli Tak Sangka Ditahan Selepas Berbincang Dengan Polis

Kuala Lumpur – Perbincangan dengan pihak polis berhubung perhimpunan aman yang dijadualkan esok bertukar kecoh apabila aktivis sosial Adam Adli Abdul Halim dan Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shukri Abd Razab ditahan di Balai Polis Dang Wangi hari ini.

 

Adam Adli yang sempat ditemui media berkata, pihaknya datang ke balai polis untuk mengadakan perbincangan atas jemputan Ketua Polis Daerah berhubung perhimpunan yang dirancang untuk diadakan di pekarangan kompleks membeli belah Sogo pada Sabtu.

 

“Kami sudah maklumkan kepada polis dan kami bersedia dengan tanggungjawab bagi memastikan ia adalah perhimpunan aman.

 

“Di peringkat awal kami dimaklumkan tiada tangkapan dan hanya perbincangan. Habis sahaja perbincangan pegawai polis berpakaian biasa telah menahan Shukri ketika kami keluar,” katanya.

 

Menurut Adam lagi, penangkapan Shukri itu bagaimanapun tiada kaitan dengan perhimpunan yang akan diadakan esok.

 

“Ini kes yang berbeza. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku lagi. Kemungkinan besar hebahan di media sosial atas nama beliau. Kita tidak pasti lagi kalau ada orang lain akan ditangkap,” ujarnya.

 

Sementara itu, Peguam Latheefa Koya berkata, tindakan polis menahan aktivis ketika mereka datang untuk memberi keterangan dan bekerjasama dengan pihak polis adalah tidak betul.

 

“Inilah masalahnya. Mereka minta orang bekerjasama tetapi menahan orang pula. Bagaimana orang nak bekerjasama dengan polis,” ujarnya.

 

Dalam kejadian itu Adam Adli ditemani Latheefa Koya dan Pengerusi Eksekutif lawyer For Liberty (LFL) Eric Paulsen telah masuk semula ke Balai Polis Dang Wangi untuk bertemu dengan OCPD. Bagaimanapun Adam Adli kemudiannya turut ditahan.

 

Difahamkan, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sejurus selepas ditahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.